Orang ramai menyaksikan rakaman pelancaran peluru berpandu hipersonik oleh Pyongyang pada 5 Januari 2022. foto Reuters

SEOUL – Korea Utara dipercayai membedil peluru berpandu balistik hari ini, menurut tentera Korea Selatan dan pengawal pantai Jepun.

Ia merupakan pelancaran peluru berpandu kali kedua, kurang dari seminggu selepas membedil peluru berpandu hipersonik minggu lalu.

Pelancaran peluru berpandu balistik itu dikesan sekitar jam 7.27 pagi (2227 GMT) dari kawasan pedalaman Korea Utara ke arah lautan di luar pantai timurnya, kata Ketua Turus Bersama Korea Selatan (JCS) dalam satu kenyataan.

Peluru itu kelihatan mendarat di luar zon ekonomi eksklusif (EEZ) Jepun, lapor agensi berita Kyodo, memetik sumber kerajaan di Tokyo.

“Pelancaran peluru berpandu oleh Korea Utara amat dikesali,” Perdana Menteri Jepun Fumio Kishida memberitahu pemberita, sambil menyatakan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu baru sahaja selesai mengadakan perbincangan tentang cara untuk bertindak balas terhadap pelancaran minggu lalu yang didakwa Korea Utara sebagai “peluru berpandu hipersonik.”

Pelancaran senjata nuklear oleh Korea Utara itu dilihat selari dengan ikrar Tahun Baharu pemimpin Kim Jong Un untuk memperkukuh tentera bagi menangani situasi antarabangsa yang tidak stabil selepas rundingan negara itu dengan Amerika Syarikat terhenti.

“Tentera (Korea Selatan) mengekalkan kedudukan bersedia sambil memantau trend di bawah kerjasama rapat antara (Korea Selatan) dan AS bagi persediaan untuk melakukan pelancaran tambahan,” kata kenyataan JCS.

Agensi perisikan Korea Selatan dan AS sedang menjalankan analisis terperinci untuk mendapatkan maklumat tambahan, tambahnya. – Reuters

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast