KUALA LUMPUR – Kelab milik selebriti popular Indonesia, Raffi Ahmad iaitu Rans Cilegon FC dilaporkan telah mencapai persetujuan dengan bintang Fenerbahce, Mesut Ozil untuk mendapatkan khidmatnya bagi menghadapi saingan Liga 1 Indonesia musim depan.
Rans Cilegon baru sahaja dinaikkan pangkat ke divisyen 1 setelah muncul sebagai naib juara Liga 2 Indonesia pada musim lepas.
Pasukan itu kini merancang membawa masuk nama besar untuk bersaing dalam Liga 1.
Penghijrahan Ozil ke kelab Indonesia turut mendapat liputan yang luas dalam kalangan media Turki setelah diumumkan sendiri oleh Raffi Ahmad melalui laman YouTube.
“Jika perpindahan Mesut Ozil ke Rans Cilegon terjadi, permainan cantik pemain Jerman itu bakal mewarnai Liga 1 Indonesia musim depan. Namun, Raffi Ahmad perlu menyediakan wang yang besar untuk membawa masuk pemain tersebut,” petikan kenyataan media daripada Fotospor.
Berdasarkan Transfermarkt, nilai jual bekas pemain Real Madrid dan Arsenal itu mencapai angka 3.70 juta euro atau sekitar RM189 juta.
Ia bakal menjadi perpindahan termahal dalam Liga Indonesia.
Raffi Ahmad dalam YouTube Rans Entertainment berkata, Ozil berminat untuk beraksi dalam Liga 1 musim depan.
“Saya telah berkomunikasi dengannya dan saya boleh katakan kami telah mencapai kesepakatan.
“Liga 1 tahun depan Mesut Ozil, kita sudah telepon-teleponan, saya kan sudah whasappp terus sama dia. Tujuan kami adalah untuk membina pasukan yang kuat di Asia,” kata Raffi. – Agensi