KUALA TERENGGANU – Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) sedang mengenal pasti individu yang membeli sijil vaksinasi COVID-19 palsu daripada seorang doktor klinik swasta di Marang.
Pengarahnya, Datuk Dr Kasemani Embong berkata, golongan terbabit perlu diberi nasihat serta penjelasan supaya mereka menyedari bahawa tindakan itu boleh mengancam keselamatan awam.
“Aktiviti mengenal pasti pembeli ini perlu dilakukan secara teliti, kami perlu dapatkan maklumat terperinci dan kalau terbukti barulah kami akan ambil tindakan seperti memberi kaunseling,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Beliau berkata, mereka juga digalakkan supaya mengambil suntikan vaksin COVID-19 secepat mungkin demi keselamatan diri sendiri, keluarga serta masyarakat.
“Kami menyeru agar mereka ini datang ke pusat pemberian vaksin (PPV) sama ada klinik kerajaan atau swasta dan dapatkan segera suntikan vaksin ini, nasihat ini termasuklah untuk sesiapa sahaja yang belum menerima vaksinasi,” katanya.
Sementara itu, Dr Kasemani berkata, klinik swasta berkenaan telah memohon untuk menjadi PPV dan kelulusan baru sahaja diberikan, namun belum beroperasi sebagai PPV.
Sabtu lepas seorang doktor lelaki berusia 51 tahun yang mendakwa dirinya antivaksin ditahan polis selepas disyaki menjual sijil suntikan vaksin COVID-19 palsu.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa dilaporkan berkata, siasatan awal mendapati seramai 1,900 individu berurusan dengan klinik tersebut untuk tujuan vaksinasi, namun daripada jumlah itu pihaknya masih menyiasat jumlah sebenar individu yang mendapatkan sijil vaksinasi palsu.
Katanya, doktor berkenaan mengenakan bayaran antara RM400 hingga RM600 kepada individu yang berhasrat mendapatkan sijil vaksinasi tanpa melakukan suntikan yang sebenar. – Bernama