Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani . Foto HAZROL ZAINAL, 12 JANUARI 2022.

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih dalam proses mendapatkan maklumat daripada pihak berkuasa Kerajaan Palestin berhubung penahanan seorang suspek negara berkenaan yang disyaki terbabit dalam pembunuhan seorang pensyarah warga Palestin di Malaysia pada tahun 2018.

Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, setakat ini PDRM masih belum memperoleh maklumat terperinci mengenai penahanan suspek itu.

“Kita (PDRM) masih menunggu maklumat terperinci daripada pihak berkuasa Palestin, kedutaan, polis antarabangsa (Interpol) dan lain-lain agensi yang dapat memberikan sedikit pencerahan mengenai isu berkenaan,” katanya ketika ditanya pemberita di sini.

Beliau berkata demikian selepas hadir ke Program Pendidikan kerjasama Yayasan Bank Rakyat dan Pusat Autisme PDRM Pengaman-MAIWP di sini, di Pusat Autism PDRM di Pusat Latihan Polis (Pulapol) pagi tadi.

Kelmarin media tempatan melaporkan, seorang suspek warga Palestin ditahan kerana disyaki terbabit dalam pembunuhan pensyarah Universiti Kuala Lumpur British Malaysian Institute (UniKL BMI), Dr Fadi M R Albatsh Fatma.

Laporan itu dipetik dari media luar negara menerusi Kementerian Dalam Negeri di bawah kerajaan Hamas yang menahan suspek tersebut.

Sementara itu, awal minggu ini Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Komisioner Datuk Seri Abd Jalil Hassan mengesahkan pihaknya telah mengemukakan permohonan mengekstradisi suspek yang ditahan kerajaan Palestin untuk dibawa ke Malaysia bagi menghadapi siasatan dan pertuduhan kes di sini.

Pada April 2018, Fadi yang juga seorang jurutera penyelidik dan dipercayai mempunyai kaitan dengan Hamas ditembak mati berhampiran rumahnya di sini oleh dua lelaki bersenjata yang kemudian melarikan diri.

Keluarganya menuduh agensi perisik Israel Mossad melakukan pembunuhan itu tetapi Menteri Pertahanan Israel ketika itu, Avigdor Lieberman menafikan pembabitan negaranya.

Jurucakap Kementerian Dalam Negeri, Iyad al-Buzom dalam sidang media di bandar Gaza memaklumkan suspek mengaku dia direkrut oleh Mossad.

Media Israel menggambarkan Fadi sebagai seorang jurutera Hamas dan pakar dalam pembuatan dron dan membayangkan kemungkinan Mossad sudah memainkan peranan dalam kematiannya.- MalaysiaGazette