MACC Malaysian Anti-Corruption Commission Azam Baki share ownership
Tan Sri Azam Baki. PIX: HAZROL ZAINAL.

KUALA LUMPUR – Krisis integriti dalam Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang turut melibatkan Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki boleh diselesaikan jika pihak bertanggungjawab mengurusnya secara profesional.

Pengerusi Majlis Penasihat Pakar, Parti Amanah Negara (MPP Amanah), Datuk Seri Ahmad Awang berkata, mereka seharusnya meletakkan kepentingan negara dan tanggungjawab moral sebagai teras utama pengurusan isu berkenaan.

Justeru, katanya, MPP Amanah berhasrat memberikan saranan proaktif ke arah mencari penyelesaian krisis berkenaan yang melibatkan pemilikan saham oleh Azam serta isu berkaitan.

Beliau menyatakan beberapa isu substantif yang menjadi persoalan ketika ini, iaitu Azam pernah memiliki saham sebanyak 1,930,000 unit di Gets Global Bhd. dalam tahun 2015 dan 2,156,000 unit di Excel Force Msc Bhd. dalam tahun 2016.

“Berikutan pendedahan wartawan dan peletakan jawatan seorang ahli panel penasihat SPRM, LPPR – Azam memperakui berlaku transaksi saham itu, tetapi menyatakan ia milik adik yang menggunakan akaunnya.

“Kenyataan itu diperakui dan diterima baik sebagai boleh dipercayai oleh Pengerusi LPPR, Tan Sri Abu Zahar Ujang, apabila Azam menafikan telah melakukan salah laku dan mendakwa dirinya bersih serta akan terus menjalankan tugas sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM.

“Kenyataan Azam dan Abu Zahar itu telah mengundang rentetan kenyataan demi kenyataan dan laporan polis oleh pihak berkepentingan iaitu parti-parti politik, Suruhanjaya Sekuriti, NGO dan kerajaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menjelaskan, isu rentetan adalah sama ada peraturan dan pekeliling Perkhidmatan Awam Bil 3 (2002) dan Akta-akta Sekuriti (seksyen 25 dan 29A SICDA) telah tidak dipatuhi oleh Azam menyebabkannya boleh diambil tindakan tatatertib dan didakwa atas kesalahan akta sekuriti.

Ahmad Awang

Bagi kerajaan, katanya, kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sendiri tidak lebih kepada memberi respons seperti ‘melepaskan batuk di tangga’.

“Ismail Sabri hanya menyatakan tidak campur tangan dalam urusan SPRM, sedangkan tiada kenyataan rasmi untuk menyelesaikan krisis keyakinan rakyat terhadap integriti SPRM dan kesungguhan kerajaan memulihkan nama baik Malaysia di peringkat antarabangsa.

“Jika dalam isu penting melibatkan maruah negara pun Ismail Sabri enggan memberi komitmen, apa sebenarnya tugas Perdana Menteri?,” soal beliau.

Menurut Ahmad, beliau mengambil kira isu substantif yang gagal ditangani SPRM seperti kejatuhan indeks persepsi rasuah Malaysia 2020-2021 dan penglibatan beberapa pegawai kanannya dalam pelbagai jenayah.

Jelasnya, Azam telah mempamerkan tindakan dan perlakuan profesional demi menjaga integriti peribadi serta lebih penting integriti SPRM.

Katanya, seluruh organisasi SPRM termasuk panel penasihat perlu bekerja dengan tekad yang tinggi untuk menjunjung kepentingan negara, jangan terlibat dengan tindakan partisan separuh masak yang menyebabkan integritinya lebih dipersoalkan.

“Mereka tidak perlu mempersoalkan motif pelbagai pihak khususnya rakyat sebagai pembayar cukai. Sebenarnya rakyat hanya inginkan SPRM menjadi badan bebas yang efektif dalam membanteras rasuah,” katanya.

Untuk dipertimbangkan, kata Ahmad, jawatankuasa mengenai rasuah bukan di bawah Parlimen, tetapi ditubuhkan di bawah Akta SPRM.

“Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen yang berkaitan ialah Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Agensi-Agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri dan Azam seharusnya dipanggil oleh jawatankuasa ini ke Parlimen untuk disiasat.

“Perdana Menteri pula wajib mempamerkan kepimpinan berkesan ke arah penyelesaian krisis ini tanpa mengambil sebarang kepentingan politik yang tidak menguntungkan negara.

“Beliau (Ismail Sabri) perlu menjadikan Kabinet pimpinannya berfungsi dengan cekap tanpa gentar mengambil keputusan yang berpihak sepenuhnya kepada proses undang-undang dan kedaulatan negara,” ujar beliau. – MalaysiaGazette