Akhbar Satar

KUALA LUMPUR – Ganjaran lebih tinggi bagi menggalakkan pemberi maklumat atau whistleblowers untuk tampil melaporkan salah laku boleh berperanan kritikal untuk menghentikan amalan rasuah dan membanteras ketirisan ekonomi berbilion ringgit disebabkan perdagangan haram.

Pengasas dan Presiden Persatuan Pemeriksaan Penipuan Bertauliah (ACFE) cawangan Malaysia, Datuk Seri Akhbar Satar berkata, beliau difahamkan bahawa Kerajaan Malaysia menerusi agensi penguatkuasaan berkaitan telah meningkatkan pakej ganjaran kewangan untuk pemberi maklumat yang telah melaporkan salah laku yang berjaya menghasilkan tindakan penguatkuasaan.

”Jika ini betul, ia adalah langkah yang tepat di dalam usaha membanteras rasuah dan mengekang dagangan haram seperti pasaran gelap rokok seludup, yang telah
mengakibatkan kerajaan kehilangan kira-kira RM5 bilion daripada segi hasil cukai yang tidak dipungut setiap tahun,” katanya dalam kenyataan di sini.

Menurut Akhbar, sindiket jenayah telah menyelinap ke dalam agensi penguatkuasaan undang-undang dari segi yang menyebabkan mereka yang berperanan
menghentikan dagangan haram telah membutakan mata terhadap pemasalahan itu.

”Walau bagaimanapun masih terdapat ramai pegawai penguatkuasaan yang memiliki integriti, maruah dan rasa tanggungjawab. Mereka inilah yang menjadi pemberi maklumat
mengenai rakan sekerja yang melanggar undang-undang bagi melindungi institusi penguatkuasaan mereka.

”Malangnya, pemberi maklumat berdepan dengan tindak balas yang serius, termasuk kemungkinan kehilangan mata pencarian. Di sinilah sistem ganjaran lumayan perlu ada.

”Malah, ganjaran lebih besar juga akan mendorong penjenayah itu sendiri untuk menjadi pemberi maklumat kepada agensi penguatkuasaan,’’ ujar beliau.

Tambah Ahkbar, ganjaran tinggi mestilah juga disertakan dengan sistem perlindungan saksi yang terjamin bagi menjaga keselematan pemberi maklumat.

”Tiada maknanya ganjaran tinggi tetapi pemberi maklumat itu tidak hidup lama untuk menggunakannya,” tambahnya. – MalaysiaGazette