Imam tetap Masjid Al Islahiah, Muhd Mohsin Nordin bercakap kepada media mengenai seorang remaja yang tular selepas dijirus air mengikut prosedur mandi jenazah berikutan telah mencuri tabung masjid ketika di Kuang, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 14 JANUARI 2022.

KUANG – Imam Tetap, Masjid Al Islahiah, di sini, memohon maaf berhubung insiden video tular seorang remaja dimandikan ala jenazah selepas ditangkap cuba mencuri tabung masjid itu pada petang Ahad lalu.

Muhd Mohsin Nordin berkata, ini kerana rakaman video itu pada asalnya hanya sebagai rekod masjid untuk disimpan sebagai bahan bukti.

Beliau bagaimanapun tidak tahu bagaimana video itu tular di media sosial yang menjadi kecaman netizen kerana mengaibkan remaja terbabit.

“Kalau semua pihak yang menghentam kami dapat membayangkan betapa besarnya tabung itu, mereka tidak akan bercakap walaupun sepatah.

“Untuk akal fikiran bagi seorang manusia mencabut tabung dari dinding, memang tidak masuk akal untuk bawa keluar. Tenaga remaja itu memang luar biasa.

“Apa pun kami juga ingin memohon maaf di atas isu viral video itu walaupun kami cuba mempertahankan hak masjid itu sendiri.

“Bukan kami tidak pernah beri pertolongan kepada orang, malah kami ada Food Bank di mana siapa sahaja yang minta kami akan beri, tidak pernah saya dengar mana-mana pihak masjid tidak beri.

“Sejujurnya saya hanya mempertahankan tabung masjid itu kerana tidak pernah orang yang datang tidak menyumbang,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini hari ini.

Semalam, Daniel Iskandar Mohd. Nasir yang sebelum itu tular dimandikan ala jenazah di Masjid Al Islahiah dikenakan hukuman penjara 10 hari dan denda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret di Selayang kerana cuba mencuri tabung masjid lima hari lalu.

Daniel Iskandar, 19, yang juga penganggur dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibaca di hadapan Majistret Nik Mohd Fadli Nik Azlan.

Mahkamah memerintahkan tertuduh dipenjara bermula tarikh tangkap iaitu 9 Januari lalu dan tambahan jel lima bulan, jika gagal membayar denda tersebut.

Sebelum menjatuhi hukuman, Majistret Nik Mohd Fadli menegur tindakan tertuduh bahawa mencuri merupakan satu kesalahan.

Nazir Masjid Al Islahiah, Supandi Samin bercakap kepada media mengenai seorang remaja yang tular selepas dijirus air mengikut prosedur mandi jenazah berikutan telah mencuri tabung masjid ketika di Kuang, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 14 JANUARI 2022.

Sementara itu, nazir masjid tersebut, Supandi Samin berkata, pihaknya sentiasa menjaga kebajikan anak kariah di kawasan itu apabila memberikan keperluan barangan asas seperti beras kepada mereka yang memerlukan.

Jelas beliau, tidak timbul isu keluarga Daniel Iskandar tidak mempunyai makanan dan terpaksa menagih bantuan jiran tetangga seperti yang didakwa peguam remaja itu.

Malah tegasnya, masjid itu sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pernah dibuka kepada semua lapisan masyarakat untuk mencari perlindungan dan bantuan makanan.

“Malah kes kecurian sebelum ini sering berlaku namun kami sebaik mungkin menyelesaikan cara baik selepas berunding dengan keluarga suspek.

“Cuma bagi kes kecurian Daniel Iskandar, datuknya sendiri yang menyuruh agar AJK masjid menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk masa depan cucunya itu,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

2 Komen

  1. Walau Bagaimanapun ada yang sanggup membantu perompak pencuri ini padahal ramai lagi fakir miskin perlukanbantuan .
    Kalau ada hayat panjang boleh lah pencuri ini cuba nasib dirumah orang yang membantunya itu .nasib baik dapat sebuah kereta boleh jual beli syabu

Comments are closed.