Covid-19 cases
Kes positif Covid-19 yang direkodkan hari ini sebanyak 3,010 kes.

KUALA LUMPUR – Kes baharu positif Covid-19 sepanjang minggu ini berada pada angka 3,000 berbanding minggu lepas pernah mencatatkan lebih 2,000 kes sehari.

Mengikut rekod Kementerian Kesihatan (KKM), sehingga jam 12 tengah hari ini, sebanyak 3,010 kes baharu dilaporkan di seluruh negara, dengan jumlah kumulatifnya meningkat kepada 2,808,347 kes.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah, daripada jumlah itu, 263 adalah kes import yang melibatkan 204 warganegara dan 59 bukan warganegara.

Katanya, daripada 3,010 kes harian yang dilaporkan itu, 28 kes atau 0.9 peratus adalah kategori 3, 4 dan 5 serta 2,982 kes atau 99.1 peratus lagi daripada kategori 1 dan 2.

Dr Noor Hisham Abdullah

“Rekod juga mencatatkan kes sembuh sebanyak 2,584 kes menjadikan 2,735,355 kes kumulatif atau 97.4 peratus, manakala kes tempatan pula 2,747 kes iaitu 2,634 warganegara dan 113 bukan warganegara.

“Bagi kes yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) ialah 182 kes iaitu 146 kes disahkan Covid-19 dengan 36 kes disyaki, kemungkinan dan kes dalam siasatan.

“Kes memerlukan bantuan pernafasan pula sebanyak 83 kes ialah 58 kes disahkan Covid-19 dengan 25 kes disyaki, kemungkinan dan kes dalam siasatan,” katanya dalam kenyataan kepada media, petang ini.

Beliau turut menjelaskan jumlah kluster sebanyak 6,212 kluster termasuk tujuh kluster baharu, 6,036 kluster yang telah tamat 176 kluster aktif.

Katanya, maklumat terperinci berkenaan situasi semasa jangkitan dan penularan Covid-19 di Malaysia akan dimuatnaik ke laman web CovidNow di https://covidnow.moh.gov.my.

Mengenai situasi semasa bencana banjir, Dr. Noor Hisham berkata, sehingga jam 3 petang ini, sebanyak satu Pusat Pemindahan Sementara (PPS) masih beroperasi, iaitu di Johor dengan 74 mangsa banjir.

Kata beliau, jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 di PPS kekal 15 kes, tanpa ada kes baharu dilaporkan.

“Begitu juga jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 dalam kalangan mangsa banjir kekal kepada 471 kes dan tiada kes baharu dilaporkan,” katanya. – MalaysiaGazette