Noraini Ahmad (kanan) ketika menyertai misi bantuan banjir di Pahang.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) berjaya melahirkan ramai sukarelawan dalam kalangan warga institusi pengajian tinggi (IPT) terutama menerusi misi bantuan ketika bencana banjir.

Inisiatif yang dicetuskan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad itu secara tidak langsung dapat melatih warga IPT untuk mempunyai ciri-ciri kesukarelawanan.

Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran, berkata pendedahan terhadap aktiviti sedemikian penting dari aspek kemasyarakatan dan bagi pelajar pula elemen kesukarelawanan menjadi satu daripada kriteria yang diidamkan majikan untuk merekrut pekerja.

Katanya, menerusi proses belajar daripada perbuatan atau learn by doing dalam aktiviti kesukarelawanan secara tidak langsung mampu meningkatkan kebolehpasaran pelajar apabila mereka bergraduat kelak.

“Menteri sendiri berjaya menjadi suri teladan apabila bersama-sama warga IPT untuk turun padang menyantuni mangsa banjir selain turut menyertai kerja pembersihan di hampir semua negeri yang terjejas,” katanya dalam satu kenyataan.

Noraini Ahmad berjaya menjadi suri teladan apabila bersama-sama warga IPT untuk turun padang menyantuni mangsa banjir

Pada misi banjir yang dijalankan KPT, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPT, Dr Mohd Zabri Yusoff; Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof Datuk Dr Husaini Omar dan Pengarah Bahagian Mahasiswa Holistik, Jabatan Pendidikan Tinggi, Dr Mohd Suzeren Md Jamil bertindak sebagai penyelaras dalam memastikan kelancaran proses aktiviti kesukarelawanan yang dijalankan warga KPT berjalan lancar mengikut negeri yang terkesan akibat banjir.

Semua IPT di negeri berkenaan yang dibantu oleh institusi dari negeri lain membantu mempercepatkan proses pembersihan di kediaman masyarakat yang terkesan.

Mengulas lanjut, Mohammad Shatar berkata, kesukarelawanan pelajar ketika banjir bukanlah perkara baru dan ini mencerminkan semangat empati yang tinggi dalam kalangan warga kampus.

Beliau berkata, selain banjir, warga kampus juga pernah bertungkus lumus di 41 pusat pemberian vaksin (PPV) IPT di seluruh negara tahun lalu mengendalikan vaksinasi kepada rakyat Malaysia.

Katanya, penyertaan mahasiswa sebagai sukarelawan di PPV IPT memberikan pengalaman baharu kepada golongan terbabit kerana ia tidak pernah diwujudkan sebelum ini.

“Pelajar terlibat sebagai sukarelawan di PPV IPT atau misi bantuan banjir pastinya mempunyai kualiti kemahiran insaniah berbeza berbanding mahasiswa yang tiada pengalaman berharga itu terutama dalam aspek kemanusiaan, pemikirian kritis dan kreatif serta kepemimpinan,” katanya. – MalaysiaGazette