Deputy Inspector-General of Police, Datuk Razarudin Husain @ Abd Rasid at a news conference on the success of Narcotics Criminal Investigation Department in 2021 at PULAPOL, Kuala Lumpur. PIX: FAREEZ FADZIL / MalaysiaGazette / 30 DECEMBER 2021. drug abuse civil servants
Datuk Razarudin Husain

JOHOR BAHRU – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menyerahkan kes seorang remaja yang tular selepas dimandikan seperti ‘jenazah’ akibat mencuri tabung masjid ke Mahkamah Tinggi Shah Alam bagi tujuan disemak semula hukuman.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Razarudin Husain memberitahu, kes berkenaan juga akan dikendalikan Mahkamah Tinggi selepas Mahkamah Majistret menjatuhkan hukuman ke atas remaja terbabit pada Khamis lalu.

“Polis tidak boleh beri pandangan begitu sahaja apatah lagi Mahkamah Tinggi Shah Alam dilaporkan akan menyemak semula hukuman yang dijatuhkan ke atas remaja berkenaan.

“Biarlah Mahkamah Tinggi semak dahulu hukuman remaja berkenaan yang dilaporkan esok.

“Buat masa ini PDRM tidak mahu mengulas mengenai kes ini. Siasatan polis sudah selesai dan remaja berkenaan juga sudah dituduh di mahkamah, kita tunggu keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam esok,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas tamat majlis serah terima tugas daripada Pemangku Ketua Polis Johor, Datuk Khaw Kok Chin di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di sini hari ini.

Sebelum itu, remaja terbabit, Daniel Iskandar, 19, difahamkan akan dipenjara 10 hari dan denda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret Selayang pada Khamis lepas selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dikenakan terhadapnya.

Terdahulu  tular video memaparkan seorang remaja dimandikan seperti jenazah selepas ditangkap kerana mencuri tabung di Masjid Al Islahiah Kuang, Rawang.

Remaja terbabit turut dilumur dengan kapur barus oleh beberapa individu dipercayai ahli jawatankuasa pengurusan masjid dan diawasi oleh beberapa penduduk kampung berkenaan.- MalaysiaGazette