Hamzah Zainudin modern day slavery
Datuk Seri Hamzah Zainudin.

KUANTAN – Bagi menambah kesiapsiagaan pasukan keselamatan negara, Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah membeli sebanyak 50 bot tambahan bernilai RM3.05 juta.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, pembelian bot pelbagai saiz tersebut sebagai pertambahan aset kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ia sekali gus membantu pasukan beruniform itu supaya lebih bersedia dalam operasi keselamatan dan menyelamat mangsa ketika banjir terutamanya bagi Pahang, Kelantan dan Terengganu.

“Hari ini serahan tujuh bot jenis Whaly pelbagai saiz yang bernilai keseluruhan berjumlah RM267,000 manakala baki 43 bot lagi dijangka diterima dalam tempoh 10 minggu ini untuk memastikan aset berkenaan dapat diserahkan kepada negeri yang memerlukan,” katanya.

Beliau berkata ketika mengadakan sidang akhbar sempena lawatan kerja Pengurusan Banjir Pantai Timur di Kem Pasukan Gerakan Am (PGA) Galing di sini hari ini.

Menurut Hamzah, bot tambahan itu digunakan dalam operasi keselamatan dan menyelamat mangsa ketika banjir dan ia juga kategori tahan lasak.

Dalam majlis tersebut, beliau menyerahkan sebanyak tujuh jenis bot Whaly pelbagai saiz dengan kepada Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Razarudin Husain.

Tambah Hamzah, penyerahan bot akan diberikan keutamaan kepada negeri yang lebih berisiko berdepan bencana banjir. – MalaysiaGazette