JOHOR BAHRU – Suasana pilu sekitar di Sungai Masai berdekatan Jalan Masai Utama sebaik sahaja mayat dua sahabat yang lemas ditemui apabila salah seorang bapa mangsa hampir rebah dan terpaksa dipapah pihak berkuasa.
Mayat pertama, Shariff Mohd Sharizan, 11, ditemui kira-kira jam 9.18 malam tadi manakala mayat kedua Mohd Ahlan Kiram,14, pula dibawa keluar jam 10.34 malam oleh pasukan Bomba dan Penyelamat Malaysia Johor.
Kedua-dua mangsa ditemui tidak jauh antara satu sama lain.
Penolong Kanan Penguasa Bomba ZON 1 Johor Hamdan Ismail berkata, seramai 21 pegawai dan anggota bomba termasuk sembilan daripada Unit Pasukan Penyelamatan di Air (PPDA) dibantu Polis Diraja Malaysia dan Agensi Pertahanan Awam digerakkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada pukul 6.15 petang tadi.
Artikel berkaitan:
“Mangsa pertama (Sharif) ditemui tidak jauh dengan mangsa kedua (Mohd Ahlan) iaitu kira-kira dua meter dengan kedalaman air lima meter,” katanya dalam sidang media di lokasi kejadian malam ini. .
“Difahamkan Mohd Ahlan dipercayai cuba membantu Sharif yang dilihat mula lemas ketika cuba mengambil selipar, namun percubaannya gagal dan kedua-duanya lemas,” katanya.
Kedua-dua mangsa dibawa oleh pihak polis ke Hospital Sultan Ismail untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, rakan mangsa, Mohd Azmil Rizuan,13 yang kelihatan masih trauma berhadapan detik cemas itu memberitahu, dia bersama enam rakannya bermain di kawasan itu ketika air masih surut.
Ketika itu, dia dan rakan-rakannya dikatakan cuba berenang untuk mendapatkan selipar salah seorang rakan yang dibawa arus.
“Masa main-main selipar kawan terjatuh di kawasan itu dan kawan saya tarik kaki saya dan saya selamat. Sebenarnya baru hari ini kami bermain bersama di sungai itu sebab air tidak dalam,” katanya. -MalaysiaGazette