JOHOR BAHRU – Dua sahabat masing-masing berusia 11 dqn 14 tahun mati lemas dalam kejadian di Sungai Masai di Jalan Masai Utama kira-kira 6.30 petang tadi.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor berkata, pihaknya menerima laporan kejadian pukul 6.14 minit petang dan Pasukan Keluaran Operasi (PKO) bergegas ke lokasi kejadian.
Krew MalaysiaGazette yang tiba di lokasi kira-kira jam 9.15 malam tadi mendapati operasi mencari dan menyelamat sedang giat dijalankan.
Kira-kira 10 minit kemudian mayat pertama mangsa ditemukan bagaimanapun maklumat terperinci mangsa belum diperolehi.
Menurut saksi , Jamal Nurlizam Latiff, 25, beliau yang berada berhampiran tempat kejadian terdengar jeritan kanak-kanak meminta tolong.
“Waktu itu saya sedang berjalan-jalan kawasan sini tiba-tiba ada seorang budak minta tolong selamatkan kawan dia.
“Bila saya sampai ke lokasi saya lihat budak yang lemas sudah tiada, air waktu itu tenang,” katanya.
Ketika berita ini ditulis operasi mencari dan menyelamat mangsa kedua masih dijalankan.
Berita lanjut menyusul. – MalaysiaGazette