Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohamed (tengah) menyempurnakan Majlis Pelancaran AirAsia Super Apps di Johor Bahru hari ini.

JOHOR BAHRU – Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad memberi bayangan pihaknya tidak boleh menolak keperluan untuk mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor bagaimanapun berkata, kerajaan negeri juga tidak boleh sesuka hati membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Tentang keperluan mengadakan PRN ini, saya tidak boleh tolak. Kita perlu kaji dan perlu tengok perkara terbabit. Suara daripada pelbagai pihak cannot fall on deaf ears (tidak boleh diabaikan).

“Tidak boleh menganggap semua bersetuju atau menggunakan bentuk kaedah untuk mencapai keputusan.

“Kita (kerajaan negeri) tidak boleh sewenang-wenangnya untuk menasihat Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar untuk bubar DUN. Ia ada peraturannya, ada syarat-syaratnya.

“Jadi ini harus dipatuhi dan tidak boleh sesuka hati nak mengisytiharkan atau menasihat bubar ke tidak payah bubar dan sebagainya.

“Saya akan berpegang kepada peraturan yang sudah ditetapkan oleh undang-undang kerajaan negeri dan keperluan yang sudah ditetapkan,” katanya mengulas mengenai kenyataan Timbalan Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor Jimmy Puah Wee Tse yang meminta bagi menamatkan spekulasi sama ada PRN Johor akan diadakan atau sebaliknya.

Terdahulu, Hasni menyempurnakan Majlis Pelancaran AirAsia Super Apps di sini hari ini.

Hasni berkata, majoriti tipis yang dimiliki kerajaan Johor hari ini memerlukan pihaknya lebih berhati-hati.

“Kestabilan untuk menstabilkan kerajaan ianya lebih memerlukan saya lebih sensitif supaya program bagi membangunkan ekonomi negeri, program untuk menjayakan rancangan yang sudah disusun itu dapat dilaksanakan dengan jayanya.

“Johor lebih-lebih lagi kalau ada pihak yang menjadikan kestabilan kerajaan negeri itu sebagai pra syarat untuk datang melabur, untuk perluaskan pelaburan, tentulah saya perlu mencari langkah supaya itu tidak menjadi alasan kepada pelabur untuk mengembangkan perniagaan mereka,” katanya.

Dalam pada itu, ketika diminta mengulas sama ada PRN Johor akan diadakan selepas perayaan Tahun Baharu Cina atau tidak, Hasni mengambil pendekatan berdiam diri.

“Saya kira justifikasi kenapa PRN itu perlu diadakan lebih penting daripada bila ia patut diadakan,” katanya sambil menyatakan partinya belum mengadakan perbincangan mengenai PRN setakat ini.

Untuk rekod, ada 56 kerusi di DUN Johor dengan agihan terkininya adalah UMNO dan DAP masing-masing 14 kerusi, BERSATU (11), MIC (dua),  PAS (satu), sementara AMANAH (enam) dan PKR (tujuh).

Kerajaan Johor memiliki majoriti tipis dengan 28 kerusi berbanding 27 kerusi di blok pembangkang, berikutan kematian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas, Datuk Osman Sapian. – MalaysiaGazette