Beberapa pengguna jalan raya mula menggunakan sistem Teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Plaza Tol Sungai Besi, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 17 JANUARI 2022.

KUALA LUMPUR – Masih ada pemilik kenderaan  menggunakan pelekat Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) berdepan kesulitan ketika melalui plaza tol.

Tinjauan MalaysiaGazette di Plaza Tol Sungai Besi menghala ke Kuala Lumpur hari ini mendapati, ada beberapa pengguna terpaksa mengundurkan kenderaan mereka selepas sistem RFID gagal mengesan pelekat yang ditampal pada bahagian hadapan kenderaan.

Kenderaan di lorong RFID yang terpaksa mengundur itu kemudiannya membelok dan menggunakan lorong Smart Tag bersebelahan.

Pengguna sistem Teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) menukar lorong Smart Tag selepas gagal melepasi laluan sistem RFID ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Plaza Tol Sungai Besi, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 17 JANUARI 2022.

Bagaimanapun, tiada sebarang kesesakan teruk di plaza tol itu petang tadi berbanding situasi yang berlaku pada awal pagi tadi ketika orang ramai sibuk menuju ke tempat kerja sehingga menyebabkan kesesakan jalan raya.

Berdasarkan pemerhatian, ada beberapa pemandu kenderaan menunggu sehingga hampir lima minit selepas kenderaan yang berada di hadapannya mengalami masalah sistem RFID.

Petugas PLUS menguruskan pengguna jalan raya yang tidak dapat melepasi laluan sistem Teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Plaza Tol Sungai Besi, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 17 JANUARI 2022.

Rata-rata respon di media sosial pula memaparkan ‘kemarahan’ dan ada juga netizen berang dengan sistem RFID yang didakwa menyumbang kepada kesesakan teruk di Plaza Tol Bandar Seri Putra, Bangi sekitar pukul 7 pagi tadi.

Seorang pengguna Twitter mendakwa, lorong Smart Tag di plaza tol berkenaan telah pun ditukar kepada lorong RFID manakala lorong Touch N Go masih kekal.

“Hari ini plaza tol di kawasan rumah kami akhirnya ‘robohkan’ lorong Smart Tag dan tukar jadi RFID manakala lorong Touch n Go kekal seperti biasa. Cuba teka apa terjadi? Penuh adegan lampu reverse kereta menyala. Mana entah aritu poster kata ditukar secara perlahan-lahan,” ciapnya.

Petugas PLUS menguruskan pengguna jalan raya yang tidak dapat melepasi laluan sistem Teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Plaza Tol Sungai Besi, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 17 JANUARI 2022.

Media sebelum ini melaporkan, transaksi tol menggunakan teknologi RFID untuk kenderaan ringan persendirian (Kelas 1) akan dilaksanakan di laluan Juru, Pulau Pinang hingga ke Skudai, Johor di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) bermula pukul 10 malam pada 15 Januari lalu.

Menurut PLUS, pihaknya menyediakan sekurang-kurangnya satu lorong RFID di semua 83 plaza tol yang terdapat di sepanjang Lebuhraya Utara-Selatan.

“Pada ketika ini terdapat kira-kira 1.5 juta pelanggan lebuh raya yang menggunakan RFID Touch ‘n Go untuk membayar tol di kebanyakan lebuh raya lain khususnya di Lembah Klang,” katanya.

Untuk info, pelekat RFID Touch ‘n Go dijual dengan harga RM35 di pusat pemasangan RFID yang sah di seluruh negara dan juga secara dalam talian. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast