KUALA LUMPUR – Pelakon Siti Saleha akhirnya sah bercerai talak satu dengan suami Ahmad Lutfi Azhar di Mahkamah Rendah Syariah Klang selepas tiga bulan turun naik mahkamah.
Lafaz cerai dilakukan Ahmad Lutfi di hadapan Hakim Syarie Mohd Hairuddin Ab Karim kira-kira pukul 10.30 pagi ini.
Terdahulu, Siti Saleha hadir ke mahkamah kira-kira pukul 9 pagi memakai baju berwarna hitam ditemani ibu, bapa dan peguamnya, Azmi Mohd Rais.
Ahmad Lutfi pula hadir memakai sut hitam ditemani dua peguam.
Pelakon drama 7 Hari Mencintaiku ketika ditemui kelihatan tenang dan menganggap jodohnya dengan Ahmad Lutfi tidak panjang.
“Hari ini Alhamdulillah kami sudah bercerai cara baik, jodoh kami tak panjang… sampai sini sahaja.
“Tiada apa-apa yang boleh saya ulas, cuma kami tiada kesefahaman,” ujarnya kepada mStar.
Pada 13 Oktober lalu, Siti Saleha mengejutkan ramai pihak apabila hadir ke mahkamah bagi kes sebutan perceraiannya dengan Ahmad Lutfi.
Untuk rekod, Siti Saleha dengan Ahmad Lutfi mendirikan rumah tangga pada 28 Julai 2017.
Selepas empat tahun berkahwin pasangan ini belum dikurniakan cahaya mata. – MalaysiaGazette