Tertuduh, Azrul Rizad Othman, 47, didenda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka hari ini selepas mengaku bersalah atas kesalahan gagal melaporkan pemberian rasuah berjumlah RM3,000 daripada kontraktor projek tahun lalu.

MELAKA – Seorang pengarah syarikat didenda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini hari ini atas kesalahan gagal melaporkan pemberian rasuah berjumlah RM3,000 daripada kontraktor projek tahun lalu.

Hakim Elesabet Paya Wan menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Azrul Rizad Othman, 47, mengaku bersalah sebaik pertuduhan pilihan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, beliau sebagai pemilik Mediaworks Design telah diberikan suapan wang tunai RM3,000 oleh seorang lelaki dan gagal melaporkan pemberian suapan itu kepada pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau pegawai polis terdekat.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah kafe Jalan Kota Fesyen 1, Mukim Bukit Baru dalam daerah Melaka Tengah pada 18 September 2024.

Sabit kesalahan tertuduh boleh didenda sehingga RM100,000 atau dipenjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 25(1) Akta SPRM 2009 dab boleh dihukum di bawah Seksyen 25(2) akta sama.

Mengikut fakta kes, tertuduh yang telah dilantik sebagai perunding bagi kerja membina sebuah rumah kediaman teres satu tingkat di Tanjung Minyak bernilai RM1.9 juta telah meminta rasuah wang tunai sebanyak RM3,000.

Habuan itu adalah untuk diri sendiri sebagai dorongan mengesyorkan sebuah syarikat kontraktor untuk melaksanakan kerja tersebut.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Sharina Farhana Nor Sa’ari memohon tertuduh dikenakan denda setimpal mengambil kira kepentingan awam.

Wang tunai yang disita berjumlah RM3,000 pula dikembalikan kepada SPRM dan pertuduhan di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 diambil pertimbangan selaras peruntukan Seksyen 171A Kanun Tatacara Jenayah.

Peguam Azrul Zulkifli Stork yang mewakili tertuduh bagaimanapun, merayu denda rendah dan tidak dikenakan penjara selain menanggung seorang isteri yang tidak bekerja.

Mahkamah kemudian menjatuhkan denda RM20,000 atau enam bulan penjara jika gagal bayar serta membenarkan permohonan pendakwaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast