KUALA LUMPUR – Tempoh 16 tahun di persada seni, Fasha Sandha percaya disiplin dan komitmen menjadi kunci kejayaannya terus bertahan.
Kisah disiplinnya termasuk menghormati waktu dengan tiba lebih awal ke lokasi tertentu atau set penggambaran juga bukan perkara asing.
Menjadi morning person turut menyumbang kepada punca rezeki ibu kepada tiga cahaya mata ini untuk terus murah.
Bukan berlagak baik, pemilik nama penuh Nur Fasha Sandha Hassan ini berkata, rutin hidupnya bermula sesudah solat Subuh.
“Sejak 16 tahun lalu saya memang jenis senang bangun pagi untuk memulakan rutin sebagai ibu, isteri dan anak seni.
“Saya selalu cakap dekat artis baru, yang lama kelamaan kita akan jadi ‘lama’. Itu putaran hidup. Cuma kalau tak bagus tak apa, berusaha memperbaiki kelemahan dan jaga benda yang boleh dijaga contohnya disiplin dan komitmen kerja.
“Dua hal itu saya tak boleh berkompromi. Insya-Allah ada jalan dan rezekinya. Pada masa sama kita terus gilap bakat dan sentiasa belajar. Tahap sekarang pun populariti yang saya fikir. Kalau ada… bonus,” kata Fasha pada majlis memperkenalkannya sebagai duta atau pengguna setia produk vitamin C Gebu Glow keluaran Wawawien Beaute di sini semalam.
Malah hingga kini biar berganti wajah pelapis dunia seni, isteri kepada Aidil Aziz dan ibu kepada Putra Rayfal, Putri Raysha Jemyma serta Aisha Amaira tetap berada di liganya tersendiri.
Malah selepas kali pertama membintangi drama Scammer Mei tahun lalu di Astro Ria terbitan Radius One Sdn. Bhd., jodohnya terus melekat dengan produksi berkenaan.
Ia diikuti dengan drama Khilaf Asmara bergandingan dengan Fahrin Ahmad, Nelydia Senrose dan Fattah Amin.
Seterusnya diikuti drama 80 episod yang masih melunaskan baki penggambaran iaitu Dendam Seorang Isteri buat kali pertama bergandingan dengan Nad Zainal.
Hingga bertebaran kisah kononnya dia anak emas produksi terbabit.
“Tak ada istilah macam anak emas itu pun. Cuma saya pertaruhkan cara bekerja dan disiplin. Mungkin itu juga buat produksi berkenaan senang dan terus tawar peluang kerja.
“Nak kata saya jauh dan hebat tidaklah sama sekali. Ramai bakat baru yang cantik dan bergetah. Namun rezeki itu takkan salah alamat. Ikutkan akan ada kesinambungan drama Scammer 2. Tapi saya terikat dengan komitmen lain,” katanya.
Tidak hanya ‘laku keras’ dengan tawaran seni, kakak kepada Elisya Sandha ini juga terus diintai diberi kepercayaan sebagai duta produk.
Malah jika mengikuti perkembangannya di Instagram, tagline ulasan produk atau makanan dipanggil ‘tak sedap kami tak kongsi’ juga mencuri perhatian.
Dalam erti kata lain, Fasha tidak sembarangan atau asal boleh dalam menerima kerja ulasan produk. Sejak dulu lebih 15 produk sudah memilihnya menjadi duta.
“Macam jodoh saya dengan produk vitamin C ini pun bermula ketika menjayakan kempen tiga bulan sejak Oktober tahun lalu untuk mencuba dan merasai keberkesanannya.
“Saya pun sama seperti adik beradik pengasas Wawawien yang tak suka makan kapsul atau tablet. Ia dihadirkan dalam bentuk serbuk. Ternyata produk itu serasi dengan saya kerana bukan tujuan untuk memutihkan kulit tapi menjadikan kulit sihat.
“Rezeki berpihak kepada saya sejak Disember tahun lalu kerana dilamar sebagai duta atau pengguna setia selama setahun. Malah wajah saya juga sudah terpampang di billboard seluruh Malaysia sepanjang lebuh raya,” katanya.
Kata Fasha, dia tersentuh hati melihat kesusahan dan pergelutan dilalui pengasas produk berkenaan hingga mahu membantu golongan ibu, suri rumah dan bekerjaya untuk sama sama menjana pendapatan sebagai ejen.
“Hati dan naluri saya sebagai wanita serta ibu mudah rapuh dalam hal ini. Saya faham kesusahan golongan wanita dan ibu di era pandemik Covid-19 ini. Ada yang terputus rezeki dan hilang kerja.
“Mereka ingin bantu golongan itu bangkit dan berjaya. Saya menyokong 100 peratus aspirasi dan semangat murni itu. Modal nak jadi agen pun semurah RM299. Istimewanya dihadirkan set edisi terhad Fasha Box Gebu Glow menggabungkan perisa kegemarannya blackcurrant dan strawberi dalam satu sachet.
“Hanya 2,5000 kotak saja dikeluarkan. Satu kotak ada 10 sachet dengan harga RM29.90 dan boleh beli menerusi ejen sah di tanda pagar #GGboss,” katanya. – MalaysiaGazette