Majlis Majlis Pelancaran This Is Pahang 2022-Unlimited dan Malam Penghargaan Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang disempurnakan Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al Mustafa Billah Shah di Kuantan malam tadi.

KUANTAN – Kerajaan Pahang meneruskan usaha dinamik merancakkan kembali sektor pelancongan dengan melancarkan This Is Pahang 2022-Unlimited sebagai tema baharu industri berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan,Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Negeri Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata, pelbagai inisiatif dirancang dan bagi menarik pelancong domestik dan atarabangsa.

“Antara perancangan tahun ini termasuk penganjuran acara sukan air bertaraf dunia Pahang Ocean Canoe International Challenge yang dijangka pada Julai atau Ogos depan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran This Is Pahang 2022-Unlimited dan Malam Penghargaan Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang di sini malam tadi.

Majlis telah disempurnakan Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah.

Hadir sama, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak dan Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin.

Jelas Mohd Sharkar, ia sekali gus mempromosi keindahan jajaran pesisir pantai di negeri ini sepanjang 240 kilometer ke mata dunia.

Selain itu, kerajaan negeri juga merancang untuk menganjurkan Pahang Hiking Week bagi mempromosi lokasi pendakian di semua daerah dalam negeri ini.

Tambahnya, para penggiat pelancongan di negeri ini juga telah bersedia dan akan membantu meningkatkan hasil pendapatan daripada sektor pelancongan.

Dalam pada itu, katanya, kerajaan negeri menyasarkan kehadiran tujuh hingga lapan juta pelancong domestik ke Pahang pada tahun ini.

Sebanyak 111 anugerah pengahargaan disampaikan kepada penerima melalui pelbagai kategori seperti Anugerah Trofi Utama, Anugerah Pelancongan kepada penggiat industri dan pengamal media.

MalaysiaGazette turut tersenarai sebagai penerima anugerah media dan diiktiraf sebagai pihak yang  membantu  sektor pelacongan baru Pahang melalui penulisan. – MalaysiaGazette