Mageswari menunjukkan keratan akhbar tahun 2016 berhubung masalah ekosistem disebabkan Tapak Pelupusan Sampah Pulau Burung di Pulau Pinang.

NIBONG TEBAL – Sahabat Alam Malaysia (SAM) mendakwa masalah di Tapak Pelupusan Sampah Pulau Burung, di sini, bermula sejak tahun 2015 sebelum kemuncak kebakaran besar yang mengakibatkan pencemaran udara, sekali gus menyebabkan penduduk terpaksa dipindahkan.

Setiausaha SAM, S. Mageswari berkata, sudah berkali-kali pihaknya ketengahkan masalah ekosistem disebabkan tapak pelupusan sampah tersebut kepada kerajaan negeri serta Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) namun tiada tindakan drastik diambil bagi mengatasinya.

Jelas beliau, Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) sendiri pernah mengeluarkan kenyataan bahawa syarikat pengendali pelupusan sampah itu melanggar pelbagai peraturan yang ditetapkan tetapi pengoperasianya masih berjalan sehingga hari ini.

“SAM terima pelbagai aduan daripada nelayan, penternak serta penduduk di kawasan berhampiran tapak pelupusan itu yang mendakwa berlaku kemusnahan pokok bakau di di situ ekoran toksik daripada daripada longgokan sampah berkenaan.

“Bukan setakat itu, pembiakan ikan turut terjejas memandangkan tapak berkenaan terletak di tepi laut.

“Bagaimanapun, semua aduan yang diketengah kepada kerajaan negeri dianggap remeh sehingga kemuncaknya berlaku kebakaran besar pada 12 Januari yang mengancam kesihatan penduduk sekitar,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di George Town hari ini.

Mengulas lanjut Mageswari berkata, pengoperasian di tapak pelupusan sampah itu perlu dinaiktaraf bagi memastikan perkara yang sama tidak berulang.

“Kerajaan negeri juga perlu tegas dalam isu pengasingan sampah secara sistematik agar longgokan sampah itu menghasilkan toksik berbahaya.

“Jika tindakan itu gagal dilakukan kerajaan negeri perlu menutup operasi tapak pelupusan tersebut kerana bimbang ia akan menjejaskan kesihatan penduduk dalam jangka masa panjang,” kata Mageswari.

MalaysiaGazette sebelum ini melaporkan, kira-kira 400 penduduk diarahkan berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) susulan kawasan berkenaan berdepan masalah pencemaran udara akibat kebakaran di tapak pelupusan sampah Pulau Burung di sini, sejak 12 Januari lalu.- MalaysiaGazette