UPM

 

SAYA merujuk kepada kenyataan Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat, Shamsul Iskandar Akin yang mempersoalkan kemampuan Universiti Putra Malaysia (UPM) melahirkan 400 graduan PhD dalam tempoh setahun.

Saya masih tidak jelas mengapa isu kemampuan UPM melahirkan 398 graduan PhD perlu dipersoalkan.

Tindakan ini seolah-olah mempertikai kemampuan graduan itu sendiri yang selama ini berusaha keras untuk mencapai cita-cita memiliki PhD.

Jika diteliti pada rekod lalu, jumlah graduan PhD UPM pada 2018 adalah sebanyak 630 manakala pada 2019 adalah seramai 632 graduan.

Namun konvokesyen baru-baru ini walaupun untuk pengajian tamat 2020 dan 2021 yang terbantut akibat pandemik Covid-19, hanya 398 sahaja graduan yang berjaya lulus.

Beliau juga merujuk kepada universiti terbaik luar negara yang didakwa hanya mampu melahirkan 20 graduan PhD setahun.

Pada tahun 2021, Harvard University menganugerahkan 572 PhD dan itu hanya di Fakulti Sains Seni. Ini tidak termasuk fakulti lain termasuk 594 ‘Doctor Of Law’ dan lain-lain fakulti.

Selain itu Stanford University menganugerahkan 770 Ijazah Kedoktoran pada 2020 dan Massachusetts Institut Of Technology (MIT) menganugerahkan sehingga 682 PhD setahun.

Begitu juga beberapa Universiti tempatan dan mengikut rekod pada tahun 2018 Universiti Malaya (503), Universiti Sains Malaysia (528), Unibersiti Kebangsaan Malaysia (530), Universiti Teknologi Malaysia (510) dan Universiti Utara Malaysia (341).

Saya diberitahu terdapat 1,791 0ensyarah di UPM yang mana 1,649 daripadanya memiliki PhD.

Adalah lebih baik jika Shamsul lebih memikirkan bagaimana membantu 75% pensyarah yang memiliki PhD di UPM yang masih gagal mencapai KPI untuk melahirkan seorang graduan PhD setahun.

Apakah niat sebenar Shamsul mempersoalkan jumlah graduan PhD UPM ketika negara cuba mencapai lebih ramai graduan PhD pada 2025?

Saya ingin menasihatkan Shamsul jika ingin menjadi jaguh isu, carilah isu yang menjadi masalah kepada rakyat dan negara hari ini. Mempersoal kemampuan UPM melahirkan 400 graduan PhD setahun seolah mempertikai kemampuan mahasiswa itu sendiri yang berusaha untuk mendapatkan PhD serta mempertikai kemampuan para pensyarah termasuk universiti berkenaan.

Razeef Rakimin
Ketua Penerangan
Angkatan Muda Keadilan Sabah

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast