KUALA LUMPUR – Pemain perseorangan lelaki nombor satu negara, Lee Zii Jia sudah menghantar surat mahu meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), lapor Bernama.
Perkara itu diumumkan oleh Presiden BM, Tan Sri Dr Norza Zakaria.
Zii Jia kelmarin dilaporkan mengadakan pertemuan empat mata dengan BAM di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Kuala Lumpur kelmarin.
Dia sebelum ini mencetus spekulasi mahu bergerak secara profesional.
Sementara itu, Norza berkata, pemain berusia 23 tahun itu telah hadir ke pejabat BAM bersama kakaknya untuk menghantar surat tersebut.
Menurut beliau, beberapa siri perbincangan dengan Zii Jia dan keluarganya dijalankan bagi memujuk beliau untuk kekal bersama skuad kebangsaan.
“Saya ingin mengesahkan, Zii jia sudah menghantar surat perletakan jawatannya pada 11 Januari lalu. Selepas itu beberapa siri perbincangan sudah diadakan bersama pemain tersebut dan kakaknya.
“Sudah tentu kita ada pujuk dia untuk kekal sebab kita sudah ‘built’ dia sejak dari usia 13 tahun. Jadi apabila dia sudah sampai ke tahap ini sudah tentu kita tidak mahu kehilangannya.
“Sebab kita mahu bawa dia lebih tinggi supaya satu hari nanti boleh sampai satu tahap sama seperti Datuk Lee Chong Wei. Jadi, selepas kita mendengar penjelasan semua pihak, majlis sudah berbincang dan mengeluarkan satu keputusan,” katanya.
Justeru kata Mohamad, satu sidang media akan diadakan esok bagi menjelaskan situasi sebenar.
“Kita sudah memberi mandat kepada Timbalan Presiden BAM, Datuk Seri Jahaberdeen Mohamed Yunoos untuk melihat perkara ini dan akan membuat satu sidang media di ABM (Akademi Badminton Malaysia) Jumaat ini,” katanya. – MalaysiaGazette