Faiz Fadzil

KUALA LUMPUR – Kerajaan dan PLUS Malaysia Berhad (PLUS) digesa lebih fleksibel dalam penggunaan Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) sebagai transaksi tol dengan tidak memansuhkan penggunaan kad Touch ‘n Go (TnG) sedia ada.

Ini kerana rakyat perlu diberikan pilihan dan tidak dipaksa dengan satu kaedah sahaja seolah hidup di bawah pemerintah autokratik.

Menurut Ahli Jawatankuasa Parti Amanah Negara (Amanah) Faiz Fadzil, kad TnG sedia ada lebih mesra pelanggan kerana boleh juga digunakan untuk kemudahan lain seperti parking kereta serta kenderaan awam LRT, MRT dan sebagainya.

Kata beliau, kaedah penggunaan RFID sepenuhnya secara tunggal di tol lebuhraya jika dilaksanakan kelak pasti menimbulkan masalah kepada pengguna apabila gagal berfungsi dengan baik.

“Lagipun, kad TnG boleh digunakan untuk banyak kereta, sedangkan sticker RFID hanya boleh digunakan untuk satu kereta sahaja.

“Rakyat perlu membeli sticker RFID bagi setiap kereta yang digunakan dan ini pasti menambah beban terutama golongan M40.

“Sudahlah, lebih 20 peratus golongan M40 tergolong dalam golongan B40 sekarang, kaedah ini pasti menambah beban golongan ini yang biasanya memiliki lebih daripada satu kereta,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Faiz turut menggesa kerajaan dan PLUS mengkaji semula kaedah itu supaya tidak membebankan golongan miskin bandar memandangkan kebanyakan pengguna lebuhraya adalah penduduk di kawasan bandar.

Katanya, dengan harga sticker RFID yang mahal iaitu RM35, ia adalah penjualan yang menguntungkan kroni dan membebankan rakyat.

“Tidak sepatutnya kerajaan dan PLUS mementingkan kepentingan kroni dalam keadaan kehidupan rakyat yang susah sekarang, ekonomi negara yang masih meleset dengan kadar inflasi 3.3 peratus pada November 2021 dan harga barang yang semakin naik.

“Oleh itu, kerajaan dan PLUS digesa memberikan sticker RFID secara percuma kerana keuntungan pasti diperolehi melalui pembayaran tol melibatkan lebih kurang sejuta kenderaan sehari untuk menampung kos sticker yang hanya bernilai beberapa ringgit sahaja,” katanya. – MalaysiaGazette