RFID failure cost RM35 RM1 PLUS toll plaza Touch 'n Go
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) akan terus memantau PLUS Malaysia Bhd dan Touch ‘n Go Sdn Bhd berhubung pelaksanaan teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) sepanjang lebuh raya PLUS bagi memastikan ia tidak melanggar undang-undang persaingan.

“Dengan mengambil kira tanggungjawab khas yang timbul daripada kedudukan dominan kedua-dua perusahaan dalam pasaran berkaitan, MyCC akan terus memantau keadaan dari semasa ke semasa dan apabila sebarang kebimbangan persaingan dikenal pasti, Akta Persaingan 2010 akan dikuatkuasakan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif MyCC, Iskandar Ismail dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau turut mengingatkan pasaran berkaitan inovasi boleh mewujudkan ketidaktentuan.

Oleh itu, MyCC akan bekerjasama rapat dengan kerajaan untuk memastikan perubahan ini sentiasa memberi manfaat kepada pengguna, tambah beliau lagi dalam kenyataan di sini.

Sistem RFID yang dilaksanakan oleh PLUS, pengendali lebuh raya terbesar negara, dibekalkan oleh syarikat Touch ‘n Go.

Iskandar berkata, pihaknya telah mengadakan perjumpaan dengan PLUS Malaysia Berhad (PLUS) dan Touch ‘n Go pada 17 Januari lalu berhubung pelaksanaan RFID di sepanjang Lebuhraya PLUS.

Perbincangan itu merupakan satu inisiatif yang diambil oleh MyCC untuk mendapatkan pemahaman yang lebih lanjut berkenaan perlaksanaan tersebut serta perkembangan terkini berhubung pelaksanaan RFID.

Walaupun inovasi seperti pengenalan RFID dalam sistem kutipan tol ini dialu-alukan, MyCC percaya pelaksanaan sistem itu perlu dilaksanakan secara lebih berkesan bagi mencapai objektifnya.

MyCC mengambil maklum tentang rancangan untuk memastikan peralihan lancar kepada RFID untuk pengguna lebuhraya dan kerjasama antara PLUS dan Touch ‘n Go dalam sistem kutipan tol.

Memandangkan terdapatnya peningkatan aduan pengguna mengenai isu berkaitan pelaksanaan RFID di seluruh Lebuhraya PLUS, MyCC turut berkongsi penilaian dan kebimbangannya dalam mesyuarat yang sama mengenai pelaksanaan tersebut termasuk memberikan akses kepada platform pembayaran lain untuk pembayaran tol bukan sahaja melalui kad debit atau kad kredit tetapi juga sistem e-wallet yang lain. – MalaysiaGazette