Siti Normah Md Desa. Foto, AMIRUL SHAUFIQ 23 OKTOBER 2021.

KUALA LUMPUR – Persatuan Pengusaha Kantin Sekolah Malaysia (PPKSM) mahu isu tular berkaitan Rancangan Makanan Tambahan (RMT) yang hanya nasi dan kuah disiasat supaya ia tidak memberi persepsi negatif kepada pengusaha kantin sekolah lain.

Setiausaha Agung PPKSM, Siti Normah Md Desa berkata, perkara sedemikian tidak sepatutnya berlaku kerana RMT yang disediakan oleh pengusaha kantin wajib dipantau oleh guru bertugas.

Menurutnya, walaupun kadar RMT yang disediakan oleh kementerian adalah rendah namun pihak kantin berusaha sedaya upaya menyediakan makanan dengan sebaiknya.

“Saya terkejut melihat gambar tular hanya nasi bersama kuah tanpa ada lauk, sepatutnya perkara ini tidak berlaku. RMT adalah makanan yang bernutrisi untuk murid bukan sekadar untuk kenyang sahaja.

“Makanan yang disediakan dipantau oleh AJK (ahli jawatankuasa) RMT, mereka akan lihat menu yang disediakan oleh pengusaha kantin dan menu ini bukan sesuka hati, ia atas nasihat dan persetujuan sekolah berdasarkan kadar yang ditetapkan ketika ini iaitu RM2.50,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Tambah Siti Normah, setiap set lengkap RMT seharusnya merangkumi nasi, lauk, sayur, air dan buah namun ia bergantung kepada harga barangan basah semasa.

“Dahulu, harga barang basah lebih murah jadi pengusaha kantin tidak mempunyai masalah untuk menyediakan portion yang lebih besar atau banyak tapi sekarang apabila harga melambung naik kemungkinan portion makanan menjadi lebih kecil.

“Namun itu semua masih di bawah pematauan pihak sekolah, apabila mereka rasa portion yang disediakan tidak sesuai mereka boleh menegur pengusaha kantin itu supaya ia dapat diperbaiki.

“Harus diingat, walaupun dengan kenaikan harga barang kami sebagai pengusaha kantin masih cuba yang terbaik untuk menyediakan makanan yang berbaloi untuk dinikmati oleh murid-murid,” ujarnya.

Justeru, Siti Normah berharap isu tular ini dapat diselesaikan sebaiknya dengan mendengar penjelasan daripada pengusaha kantin, pihak sekolah serta ibu bapa murid berkenaan.

“Apabila gambar tersebut menjadi tular kita lihat berbagai-bagai komen netizen tinggalkan. Sebab itu kita perlu siasat dan dapatkan penjelasan yang sebenar daripada terus membuat spekulasi yang tidak sepatunya,” katanya.

Terdahulu, menerusi satu kenyataan di laman Facebook, Menteri Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, siasatan lanjut mengenai isu itu akan dijalankan bagi memastikan kebajikan pelajar terjaga.

“Malam tadi saya dimaklumkan tentang satu hantaran di Facebook yang tular mengenai gambar nasi putih dan kuah yang didakwa sebagai makanan kepada murid di bawah RMT.

“Saya memandang serius dakwaan tersebut dan telah arahkan supaya siasatan lanjut dibuat, termasuk mengenalpasti sekolah yang terlibat. KPM tidak berkompromi dalam hal yang melibatkan kebajikan murid,” katanya. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Isu RMT: KPM tak kompromi kebajikan murid – Radzi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette 2
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast