KUALA LUMPUR – Majlis Profesor Negara (MPM) menolak dakwaan kononnya Universti Putra Malaysia (UPM) mengeluarkan jumlah graduan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) yang banyak tahun ini.
Presiden dan juga Ketua Pegawai Eksekutif MPN, Prof. Datuk Dr. Raduan Che Rose berkata, setiap institusi pengajian tinggi yang bertaraf universiti penyelidikan seperti UPM mempunyai lebih 1,500 pensyarah yang mempunyai PhD dan layak menyelia sekurang-kurangnya seorang pelajar PhD.
“Cuba banyangkan kalau tiap-tiap pensyarah antara lain KPI mereka selain membuat penyelidikan, mengajar dan membuat penyeliaan pelajar peringkat PHD.
“Untuk naik pangkat pun mereka mesti mengeluarkan pelajar sehingga tamat pengajian. Profesor Madya mungkin kena menyelia seorang pelajar PhD, profesor mungkin lima orang.
“Kalau 1,500 pensyarah bagi tiap-tiap universiti keluarkan seorang, setahun sudah berapa? Bermakna kita masih ada ruang untuk mencapainya lagi,” katanya.
Beliau mengulas kenyataan Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin yang harian bagaimana UPM boleh menghasilkan hampir 400 graduan PhD tahun ini.
Walhal, kata Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya itu, universiti terbaik dunia pun hanya kurang 20 penerima PhD yang dianugerahkan.
Menjelaskan perkara itu, Raduan berkata, Shamsul Iskandar mempunyai jurang pemahaman berikatan isu itu.
“Saya tidak menuduh dipolitikkan, saya sebut jurang kefahaman antara orang politik dan dunia akademik. Saya harap selepas ini apabila orang politik mendengar penerangan ini baru dia faham bahawa apa yang ada adalah perkara biasa. Malah ada ruang lagi untuk ditingkatkan lagi.
“Orang itu sebenarnya kefahamannya tidak jelas. Kita pun tak ada komunikasi. Sepatutnya universiti meuar-uarkan perkara ini,” kata Raduan yang ditemui selepas menjadi panel diskusi bertajuk Pendidikan Tinggi dan Masa Depan Negara: Apa masalahnya? anjuran MPM.
Menurut Raduan, jumlah pelajar PhD yang dikeluarkan oleh UPM masih kurang berbanding universiti terkemuka dunia seperti Massachusetts Institute of Technology (563) National Universiti Singapore (557) dan UCLA (770).
Sementara itu, Ahli Lembaga Governors Universiti Sains Malaysia dan Ahli Majlis Taylor’s University, Datuk Dr. Hassan Said yang turut menjadi ahli panel berkata, jumlah graduan PhD ketika ini adalah kurang daripada sasaran yang dibuat pada tahun 2006.
Pada masa itu, jumlah yang disasarkan adalah 60,000 graduan PhD menjelang tahun 2023 dan ketika ini jumlah yang ada adalah seramai 28,000 orang sahaja.
“Sebenarnya bila diletakkan 60,000 itu, adalah sasaran dalam jangka masa 20 tahun kerana itu berlaku pada 2006 dan sasaran 2023. Puratanya adalah 3,000 setahun. Kalau 3,000 setahun melihat kemampuan universiti awam dan swasta memang boleh dihasilkan.
“Tapi pada peringkat awal kita mempunyai masalah pelajar kerana tidak mempunyai ramai calon yang mahu membuat PhD. Jadi bekalan tidak ada. Pasal masa itu bilangan pelajar yang keluar pun tak ramai.
“Jadi sekarang ini sudah ada IPTA, IPTS yang buat ijazah sarjana muda itu ramai,” katanya.
Shamsul Iskandar sebelum ini hairan mengapakah begitu ramai yang dianugerahi PhD di UPM.
Beliau turut mempersoalkan bagaimanakah pelajar PhD dinilai sekiranya seorang pelajar memerlukan seorang profesor sebagai penyelia bagi tujuan memantau, menyemak dan meluluskan tesis yang mereka hasilkan.- MalaysiaGazette