Operasi stesen transit aliran ringan (LRT) Masjid Jamek mula dihentikan sementara pada jam 7 pagi esok bagi menghalang perhimpunan Demo #TangkapAzamBaki.

KUALA LUMPUR – Polis mengingatkan orang ramai tidak menyertai perhimpunan Demo #TangkapAzamBaki yang dipercayai dianjurkan oleh beberapa pihak dan individu esok.

Ketua Polis Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, pihaknya tidak menerima permohonan bagi penganjuran demonstrasi tersebut, sebaliknya hanya menerima maklumat dan juga posting yang telah tular di media sosial.

Tegasnya, perhimpunan ini jelas melanggar undang-undang yang berkuatkuasa iaitu Peraturan 9 (Larangan Berarak) dan Peraturan 10 (Kawalan Berhimpun), Peraturan- Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) 2021.

Mahkamah juga katanya telah mengeluarkan perintah untuk menghalang mana-mana pihak bagi mengadakan perhimpunan di tiga lokasi iaitu Dataran Merdeka, Sogo dan Masjid Jamek.

“Pihak polis menasihati orang ramai untuk tidak menyertai sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang serta SOP yang sedang berkuatkuasa, demi menjaga keselamatan dan ketenteraman awam serta kesihatan umum.

”Semua lapisan masyarakat harus memahami pentingnya mematuhi SOP Pelan Pemulihan Negara Fasa 4 dengan sentiasa memakai pelitup muka, menjaga penjarakkan fizikal dan elakkan berada di dalam kelompok yang ramai agar bersama-sama kita dapat mengurangkan kadar jangkitan Covid-19 ini,” katanya di sini.

Menurut beliau, polis tidak akan bertolak ansur dengan mana- mana pihak yang dikesan masih berdegil menganjurkan atau menyertai sebarang perhimpunan, dan akan mengambil tindakan tegas di dalam perkara ini.

Dalam pada itu, bagi memastikan keselamatan orang ramai dan ketenteraman awam berada pada tahap yang baik, polis akan menjalankan lencongan jalan di sekitar pentadbiran IPD Dang Wangi.

Setakat ini sebanyak enam jalan yang akan dibuat lencongan iaitu Jalan Kuching, Jalan Kinabalu, Jalan Maharajalela, Jalan Hang Tuah, Jalan Imbi dan Jalan Sultan Ismail.

Lencongan ini akan bermula pada jam 7 pagi, 22 Januari 2022 sehingga selesai.

Selain daripada lencongan jalan, pihak pengoperasian stesen MRT, LRT, Monorail dan KTM juga akan membuat penghentian sementara pengoperasian bagi beberapa stesen utama di dalam kawasan Pentadbiran IPD Dang Wangi.

Penghentian sementara operasi kesemua stesen ini juga akan bermula pada jam 7 pagi 22 Januari 2022 sehingga jam selesai.

Operasi LRT Ampang Line dan Sri Petaling yang terlibat ialah stesen Pudu, Pudu Hang Tuah, Masjid Jamek, Plaza Rakyat, Bandaraya dan Sultan Ismail.

LRT Kelana Jaya pula ialah stesen Kampung Baru, Dang Wangi. Masjid Jamek dan Pasar Seni.

MRT Laluan Sungai Buloh-Kajang pula stesen Bukit Bintang, Merdeka dan Pasar Seni.

Monorail melibatkatkan sembilan stesen iaitu Medan Tuanku, Bukit Nanas, Raja Chulan, Bukit Bintang, Imbi, Hang Tuah, Maharajalela, Tun Sambathan dan KL Sentral.

Stesen Kuala Lumpur, Bank Negara dan Putra bagi perkhidmatan KTM.

Nor Dellhan menasihati orang ramai yang mempunyai sebarang urusan di Bandaraya Kuala Lumpur terutama di kawasan Pentadbiran IPD Dang Wangi perlu merancang perjalanan dan urusan masing-masing terutamanya yang melibatkan laluan dan juga masa. – MalaysiaGazette