Mustapa Mohamed

KUALA LUMPUR – Kerajaan memberi jaminan akan memperketat penguatkuasaan ke atas perundangan berkaitan seperti Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 bagi memastikan peniaga-peniaga sentiasa menjalankan perniagaan secara beretika serta tidak mengambil kesempatan untuk mengambil untung secara berlebihan sehingga mengakibatkan peningkatan harga barangan atau perkhidmatan.

Kerajaan sentiasa memantau harga barangan terutamanya barang makanan dan mengambil langkah bagi mengelakkan kenaikan yang tidak munasabah, sekali gus mengurangkan beban kepada rakyat keseluruhannya, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mustapa Mohamed yang mengulas kenaikan kadar inflasi negara 3.2 peratus pada bulan Disember 2021.

Jelasnya, kenaikan itu disebabkan oleh peningkatan indeks harga bagi komponen pengangkutan yang mencatat 9.5 peratus dan komponen makanan dan minuman bukan alkohol dan yang mencatat 3.2 peratus.

Bagi tahun 2021, kadar inflasi tahunan ialah 2.5 peratus berbanding -1.2 peratus pada tahun 2020.

Katanya, peningkatan kadar inflasi bukan sahaja berlaku di Malaysia, namun ia merupakan fenomena global yang turut dialami kebanyakan negara lain di seluruh dunia yang disebabkan oleh gangguan rantaian bekalan dan kos tenaga yang meningkat mendadak berbanding dengan tahun 2020.

Sebagai contoh, kadar inflasi di Amerika Syarikat meningkat kepada 7.0 peratus pada Disember 2021, tertinggi dalam 39 tahun sejak Jun 1982; kadar inflasi di Zon Euro telah meningkat untuk bulan keenam berturut-turut kepada rekod tertinggi sebanyak 5.0 peratus pada Disember 2021; i Inflasi di Korea meningkat 3.7 peratus pada Disember 2021, dan ia merupakan bulan kesembilan berturut-turut

Di antara negara ASEAN pula, Filipina mencatat kadar inflasi sebanyak 3.6 peratus pada Disember 2021 dan Singapura mencatat kadar inflasi sebanyak 3.8 peratus pada November 2021.

Mustapa berkata, kerajaan sedar bahawa peningkatan inflasi ini telah memberi kesan kepada kos sara hidup Keluarga Malaysia, terutamanya yang berpendapatan rendah.

Sehubungan dengan itu, pelbagai inisiatif telah dan sedang dilaksanakan oleh kerajaan dalam menangani isu inflasi dan kenaikan harga barang keperluan asas untuk meringankan beban ahli-ahli Keluarga Malaysia.

Antara inisiatif tersebut termasuk:
• Melalui Bajet 2022, kerajaan telah memperuntukkan RM31 bilion dalam bentuk subsidi, bantuan dan insentif, ini termasuklah pemberian subsidivpetrol RON95 dan diesel, serta minyak masak dan tepung. Di samping itu, RM200 juta diperuntukkan untuk membantu mengurangkan harga barang keperluan penduduk luar bandar;

• Memperuntukkan RM400 juta untuk menstabilkan harga minyak masak bagi tahun 2022, di samping memanjangkan program mekanisme kawalan harga minyak masak sehingga bulan Mac 2022 dengan kos sebanyak RM150 juta;

• Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna telah melaksanakan beberapa inisiatif untuk memantau harga barangan. Usaha ini termasuk menggerakkan kira-kira 1,000 Pegawai Pemantau Harga (PPH) secara harian untuk memantau harga 480 item di 1,500 premis seluruh negara;

• Kerajaan memulakan pelaksanaan Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) berkuatkuasa 1 Januari sehingga 4 Februari 2022 melibatkan 12 jenis barangan makanan keperluan asas; dan melaksanakan Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) sebanyak
RM100 juta, untuk dilaksanakan di 222 kawasan Parlimen sehingga Mac 2022.

Bagi jangka sederhana dan panjang pula, antara isu yang akan diberi tumpuan adalah berkaitan pergantungan kepada import, kos kepada input pengeluaran makanan, isu buruh asing, skim subsidi, geran dan pinjamanmudah, pengangkutan dan logistik, teknologi pertanian dan penyelidikan dan pembangunan. – MalaysiaGazette