KUALA LUMPUR – Indeks Harga Pengguna (IHP) Disember 2021 meningkat 3.2 peratus kepada 124.5 berbanding 120.6 pada bulan yang sama tahun sebelumnya disebabkan oleh kesan asas pada tahun lalu.

Kenaikan ini adalah melepasi purata inflasi bagi tempoh 2011 hingga 2021 (1.9%).

Ketua Perangkawan Malaysia, Dato’ Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, selain daripada peningkatan kumpulan Makanan & Minuman Bukan Alkohol (3.2%) dan kumpulan Pengangkutan (9.5%), kadar inflasi 3.2 peratus pada Disember 2021 adalah didorong oleh kenaikan harga kumpulan Perumahan, Air, Elektrik, Gas & Bahan Api Lain (3.4%); Hiasan, Perkakasan & Penyelenggaraan Isi Rumah (2.7%) dan Restoran &Hotel (1.3%).

Makanan & Minuman Bukan Alkohol yang menyumbang 29.5 peratus kepada perbelanjaan isi rumah meningkat sebanyak 3.2 peratus pada Disember 2021, di mana kedua-dua indeks harga Makanan di rumah dan makanan di luar rumah masing-masing meningkat 4.1 peratus dan 2.2 peratus.

Peningkatan indeks harga kumpulan Makanan & Minuman Bukan Alkohol disebabkan oleh harga bahan mentah yang lebih tinggi bagi penyediaan makanan di rumah seperti Daging (8.3%); Susu, keju & telur (5.5%); Sayur-sayuran (5.0%); Minyak & lemak (4.4%) dan Ikan & makanan laut (4.2%). Ayam yang merupakan komponen terbesar dalam daging meningkat 13.6 peratus dan merekodkan purata harga RM9.54 per kilogram berbanding RM8.40 pada Disember 2020.

Telur yang merupakan salah satu lagi sumber protein mencatatkan peningkatan dua digit sebanyak 13.5 peratus pada Disember 2021, manakala susu pula meningkat 3.0 peratus.

Hujan lebat yang berlaku di beberapa negeri seperti di Selangor, Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor sepanjang Disember 2021, susulan peralihan Monsun Timur Laut telah mendorong kenaikan harga makanan terutamanya sayur-sayuran dan ikan & makanan laut.

Kenaikan ini adalah disebabkan oleh kesan langsung daripada kekurangan bekalan berikutan faktor cuaca ini.

Hujan lebat yang berterusan mengakibatkan bencana banjir serta tanah runtuh yang terjadi di negeri pengeluar sayur seperti di Pahang, turut menyumbang kepada kenaikan harga ini dan secara langsung menyumbang kepada kenaikan inflasi negara.

Walau bagaimanapun, pelaksanaan Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) yang diumumkan oleh Kerajaan sepanjang 7 hingga 31 Disember 2021 telah meredakan inflasi kumpulan ini.

Mohd Uzir menambah, peningkatan indeks harga kumpulan Pengangkutan yang lebih perlahan berbanding November 2021 (12.7%) adalah disebabkan oleh harga Petrol Tanpa Plumbum RON95 pada Disember 2020 yang telah naik kepada RM1.74 seliter yang telah mengecilkan perbezaan antara harga siling Petrol Tanpa Plumbum RON95 yang telah ditetapkan oleh kerajaan pada Mac 2021 (RM2.05). Pada tahap tertentu, ianya telah meredakan inflasi negara berbanding bulan sebelumnya (November 2021: 3.3%).

Kesemua negeri menunjukkan peningkatan IHP di mana lapan negeri melepasi paras inflasi nasional 3.2 peratus.

Peningkatan tertinggi dicatatkan oleh Terengganu (3.9%) manakala Sarawak (2.5%), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (2.3%) dan Sabah & Wilayah Persekutuan Labuan (2.0%) merupakan tiga negeri yang mempunyai peningkatan IHP yang paling rendah.

Kesemua negeri juga mencatatkan peningkatan bagi inflasi kumpulan Makanan & Minuman Bukan Alkohol.

Peningkatan tertinggi dicatatkan oleh Selangor & Wilayah Persekutuan Putrajaya (4.3%) diikuti oleh Johor (3.7%), Perak (3.3%) dan Pahang (3.2%).

Sementara itu, negeri lain menunjukkan peningkatan di bawah paras inflasi kumpulan Makanan & Minuman Bukan Alkohol nasional iaitu 3.2 peratus pada Disember 2021.

Peningkatan yang berlaku adalah disebabkan oleh kenaikan harga sayur-sayuran, telur, ikan dan makanan laut pada Disember 2021 berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya.

Tambahnya, inflasi bagi kumpulan pendapatan di bawah RM3,000 meningkat 3.2 peratus pada Disember 2021 berbanding Disember 2020. Kumpulan Makanan & Minuman Bukan Alkohol meningkat 3.5 peratus, 0.3 mata peratus lebih tinggi daripada kumpulan yang sama dalam inflasi utama.

Subkumpulan yang menyumbang kepada peningkatan adalah daripada kumpulan Daging (8.2%) diikuti oleh Minyak & lemak (6.7%); Susu, keju & telur (6.0%) dan Ikan & makanan laut (4.4%).

Inflasi Pengangkutan adalah sebanyak 2.3 mata peratus lebih tinggi daripada kumpulan yang sama bagi inflasi keseluruhan dan penurunan 11.8 peratus pada Disember 2021. Sementara itu, Perumahan, Air, Elektrik, Gas dan Bahan Api Lain juga meningkat 2.8 peratus (Disember 2020: -1.2%).

Penamatan diskaun elektrik di bawah pakej PEMULIH yang berakhir pada September memberi impak kepada inflasi bagi kumpulan pendapatan di bawah RM3,000.

Inflasi teras mengukur perubahan dalam harga barang dan perkhidmatan, tidak termasuk makanan segar yang harganya tidak menentu serta barangan kawalan oleh kerajaan.

Inflasi teras telah mencatatkan peningkatan 1.1 peratus pada Disember 2021 berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya.

Peningkatan tertinggi dicatatkan oleh kumpulan Hiasan, Perkakasan & Penyelenggaraan Isi Rumah iaitu 2.7 peratus.

Inflasi tanpa bahan api meningkat 2.0 peratus pada December 2021 kepada 115.1 berbanding 112.8 pada bulan yang sama tahun sebelumnya.

Inflasi tanpa bahan api meliputi semua barang dan perkhidmatan kecuali Petrol Tanpa Plumbum RON95, Petrol Tanpa Plumbum RON97 dan Diesel.

Sementara itu, IHP bagi suku tahun keempat 2021 meningkat 3.2 peratus kepada 124.1 berbanding 120.3 pada suku tahun yang sama tahun sebelumnya.

Bagi perbandingan suku tahunan pula, IHP mencatatkan peningkatan 1.2 peratus berbanding suku tahun ketiga 2021.

Bagi perbandingan bulanan, IHP meningkat 0.4 peratus berbanding November 2021. – MalaysiaGazette