Ketua Pengarah JBPM Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid pada sidang media selepas Majlis Perbarisan Tahunan JBPM di Putrajaya hari ini.

PUTRAJAYA – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM)  di lima buah negeri telah menerima penarafan lima bintang iaitu cemerlang dalam perkhidmatan sepanjang tahun lalu.

Kelima-lima negeri berkenaan adalah Kuala Lumpur, Johor, Sarawak, Perak dan Pulau Pinang.

Manakala 11 buah negeri lain pula diberi penarafan empat bintang, kata Ketua Pengarah JBPM Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid.

Menurutnya, pencapaian perkhidmatan bomba di negeri-negeri ini dinilai berdasarkan kepada System Star Rating (SSR) menggunakan garis panduan yang ditetapkan oleh Unit Pemodenan Tadbiran Dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU).

“Jadi, kami berdasarkan star rating menunjukkan bahawa star rating ini merangkumi dari segi prestasi, keanggotaan, pengurusan logistik, pengurusan biasa, pengurusan kualiti, kutipan hasil dan juga penjagaan aset, perbelanjaan dan sebagainya,” katanya ketika sidang media selepas Majlis Perbarisan Tahunan JBPM hari ini.

Tambah Mohammad Hamdan, pencapaian response time jabatan berkenaan pada tahun lalu lebih baik berbanding pada 2020.

Pada tahun 2020, purata Response Time Kebangsaan (RTK) adalah 11.58 minit.

Manakala, PRT pada tahun 2021 ialah 8.54 minit, penambahbaikan sebanyak 3.04 minit berbanding 2020.

Sementara itu, beliau juga memaklumkan, seramai 1,726 anggota bomba yang telah dijangkiti Covid-19 sejak pandemik itu bermula sejak dua tahun lalu.

Katanya, 95 peratus daripada anggota berkenaan mendapat jangkitan daripada komuniti.

“Seramai 7,200 telah diuji kerana menunjukkan simptom-simptom. Setelah diuji, 1,726 memang positif.

“Mereka ini positif satunya datang daripada komuniti, 95 peratus datang dari komuniti, lima peratus sahaja datang dari tempat mereka berkhidmat.

“Sama ada berkhidmat ini kontak daripada rakan, ataupun daripada mangsa. Lima peratus sahaja tetapi 95 peratus itu memang daripada komuniti,” tambahnya. -MalaysiaGazette