Lokasi kejadian lelaki Pakistan cedera akibat ditembak seorang lelaki tempatan menggunakan senapang patah di Tasek Gelugor, Pulau Pinang hari ini.

TASEK GELUGOR – Seorang lelaki warga Pakistan cedera ditembak dalam satu kejadian di sebuah kedai runcit di Pokok Tampang di sini, petang tadi.

Kejadian jam 6.30 petang itu menyebabkan mangsa berusia 31 tahun mengalami kecederaan di bahagian dada dan tangan kanan akibat ditembak menggunakan senapang patah.

MalaysiaGazette difahamkan, berlaku perselisihan faham antara mangsa dengan suspek berusia 33 tahun itu sebelum tiba-tiba dia bertindak menembak mangsa.

Difahamkan, suspek warga tempatan itu kerap ke kedai runcit tersebut dan dipercayai dia menggunakan senapang patah milik bapanya untuk menyerang mangsa.

Suspek tidak bekerja dan dipercayai mempunyai masalah mental.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Mohd Radzi Ahmad ketika dihubungi MalaysiaGazette mengesahkan kejadian tersebut.

“Pihak polis terima panggilan daripada seorang wanita yang juga  pemilik kedai runcit tersebut yang memaklumkan pekerjanya cedera ditembak seorang lelaki tempatan tidak dikenali.

“Pihak polis termasuk Unit Forensik telah hadir ke lokasi bagi melakukan siasatan dan mangsa yang mengalami kecederaan itu dihantar ke Hospital Kepala Batas untuk rawatan lanjut.

“Tangkapan ke atas suspek juga telah dilakukan selain kita merampas senjata yang digunakan dalam kejadian tersebut,” kata beliau.

Kes disiasat mengikut Seksyen 3, Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh. – MalaysiaGazette