Seorang peserta yang berpakaian uniform SPRM ketika perarakan semasa mengadakan Himpunan #TangkapAzamBaki di Jalan Bangsar, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 22 JANUARI 2022.

KUALA LUMPUR – Aktivis politik, Adam Adli Abdul Halim menegaskan himpunan #TangkapAzamBaki hari ini berjaya menyampaikan mesej kepada kerajaan walaupun dihalang berarak ke Dataran Merdeka seperti dirancang.

Ahli PKR itu berkata, himpunan itu yang hanya diadakan di Jalan Bangsar di sini mendesak siasatan terhadap Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki dan dikenakan tindakan sewajarnya.

“Kita minta Azam sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM disiasat, rombak segera kepimpinan SPRM kerana ia sebagai institusi utama menjaga integriti dalam negara.

“Bantahan ini dibuat bukan sebab individu bernama Azam Baki semata-mata sebalik ia melibatkan sebuah instisusi yang menjaga integriti negara dan ia merosakkan institusi sampai ke akar umbi.

“Kalau nama Ketua Pesuruhjaya SPRM itu Anwar Ibrahim pun kita akan lawan, ini soal institusi,” katanya selepas himpunan itu diarahkan bersurai oleh polis hari ini.

Malah ujar Adam, pihaknya akan meneruskan kempen tersebut menerusi saluran lain kerana berpendapat ia perlu dilakukan oleh pihak terhadap apa yang telah berlaku di dalam SPRM.

Himpunan #TangkapAzamBaki gagal sampai ke Dataran Merdeka apabila diarahakan bersurai oleh polis pada jam 12.20 tengahari.

Pihak polis hanya membenarkan peserta berarak dari Stesen LRT Bangsar ke penghujung Jalan Bangsar menuju ke persimpangan Brickfields kira-kira 600 meter dari tempat mereka berkumpul.

Untuk rekod, sepanjang himpunan itu diadakan tiada pemimpin utama Pakatan Harapan (PH) mahupub pembangkang yang menyertai bantahan itu.

Ia sebaliknya hanya dihadiri wakil aktivis dan pemimpin sayap parti-parti pembangkang terdiri dari wakil pemuda PKR, Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah), Pemuda DAP, Pemuda Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA). – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Himpunan berakhir, peserta gagal ke Dataran Merdeka

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast