NUTP
NUTP berharap tiada syarat tersembunyi dalam pekeliling yang membenarkan guru berpolitik.

KUALA LUMPUR – Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) berharap tiada syarat tersembunyi dalam pekeliling baharu yang akan dikeluarkan mengenai kebenaran untuk berpolitik melibatkan guru sekolah di seluruh negara serta petugas Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas).

Setiausaha Agung NUTP Wang Heng Suan dalam kenyataan hari ini memaklumkan syarat tersembunyi dimaksudkan adalah yang boleh mendatangkan masalah kepada guru yang aktif berpolitik.

“NUTP juga berharap kerajaan memberi perhatian dan kebenaran berpolitik kepada guru bilik darjah yang berada di gred DG52 dan gred DG54 Time-Based.

“Oleh itu, NUTP berharap segala kaedah dan panduan yang akan dikeluarkan bersama dengan pekeliling baharu kelak agar jelas dan mudah difahami agar guru-guru yang aktif berpolitik tidak melanggar peraturan atau syarat yang telah ditetapkan,” menurutnya dalam kenyataan itu.

Hari ini, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Kabinet memutuskan bahawa guru sekolah di seluruh negara dan petugas KEMAS dibenarkan berpolitik, berkuat kuasa serta-merta.

Wang berkata NUTP juga berharap guru yang mengemukakan permohonan dan aktif dalam berpolitik berpuas hati serta menyambut baik pengumuman itu.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan guru yang aktif berpolitik bahawa mereka perlu memberi keutamaan terhadap pencapaian akademik murid terlebih dahulu dan tumpuan hakiki seorang guru adalah mendidik.

Katanya sebelum ini, surat arahan pembatalan kelulusan penglibatan warga pendidik dalam politik yang dikeluarkan tahun lepas turut menyatakan pembatalan kelulusan itu melibatkan semua peringkat kumpulan atau gred.

— BERNAMA