Anggota polis membuat sekatan dan melencongkan beberapa jalan utama di ibu negara susulan penganjuran perhimpunan mendesak Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki supaya ditangkap yang dijadual berlangsung hari ini. Foto AFFAN FAUZI, 22 JANUARI 2022.

KUALA LUMPUR – Lima jalan di sekitar Brickfields dan enam jalan utama di ibu kota dilencongkan bermula 7 pagi ini bagi mengelak mana-mana pihak mengadakan perhimpunan di Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Bangsar, hari ini.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, lima lencongan itu melibatkan Jalan Bangsar, susur Jalan Bangsar Utama, Jalan Travers, Jalan Rakyat dan Jalan Maarof.

Tindakan itu dibuat kerana polis tidak menerima sebarang pemberitahuan perhimpunan daripada mana-mana individu atau pihak seperti yang digariskan dalam Akta Perhimpunan Aman 2012.

“Perhimpunan ini jelas melanggar undang-undang Peraturan 9 (Larangan Berarak) dan 10 (Kawalan Berhimpun) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Amihizam memaklumkan pengoperasian stesen membabitkan laluan Transit Aliran Massa (MRT), LRT, monorel dan Keretapi Tanah Melayu Berhad di sekitar ibu negara dihentikan sementara bermula 7 pagi ini.

“Polis tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana pihak yang masih berdegil menganjurkan atau menyertai sebarang perhimpunan dan akan mengambil tindakan tegas mengikut undang-undang,” ujarnya.

Dalam pada itu, enam jalan utama di sekitar Kuala Lumpur iaitu Jalan Kuching, Jalan Kinabalu, Jalan Maharajalela, Jalan Hang Tuah, Jalan Imbi dan Jalan Sultan Ismail turut dilencongkan pagi ini.

Ia dimaklumkan oleh  Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Dellhan Yahaya semalam.

Justeru orang ramai yang mempunyai urusan di Kuala Lumpur terutama di kawasan LRT Bangsar dan sekitarnya dinasihatkan supaya merancang perjalanan dan urusan masing-masing.- MalaysiaGazette