Datuk Ir. Hasni Mohammad

JOHOR BAHRU – Menteri Besar, Datuk Ir. Hasni Mohammad membayangkan hari ini akan menjadi hari yang sibuknya dan mengakui akan menghadap Sultan Johor.

It’s gonna be a busy day today,” ujarnya ringkas ketika ditemui semasa hadir ke mesyuarat parti di Bangunan Ibu Pejabat UMNO Johor di Jalan Yahya Awal petang tadi.

Ketika ditanya sama ada beliau akan menghadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, beliau hanya mengangguk.

Mesyuarat UMNO hari ini dikhabarkan akan membincangkan berkenaan pelaksanaan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan akan dipengerusikan Hasni hari ini turut melibatkan kesemua 26 Ketua UMNO Bahagian di Johor.

Antara yang dilihat telah hadir sebelum itu termasuklah Naib Presiden UMNO yang juga merupakan Ketua UMNO Bahagian Pasir Gudang, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan; Setiausaha UMNO Johor yang juga Ketua UMNO Bahagian Ayer Hitam, Datuk Samsolbari Jamali dan Ketua UMNO Bahagian Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein Onn.

Selain itu, turut kelihatan termasuklah Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Abdul Samad; Ketua UMNO Bahagian Labis, Azhar Ibrahim; Ketua UMNO Bahagian Pagoh, Ismail Mohamed; Ketua UMNO Bahagian Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said dan Ketua UMNO Bahagian Muar, Datuk Seri Razali Ibrahim.

Semua pihak khususnya rakyat di negeri ini sedang menanti-nantikan sidang akhbar yang bakal diadakan Hasni selepas tamat mempengerusikan mesyuarat tersebut.

Khabar angin mengatakan Johor bakal menyaksikan PRN semakin kedengaran khususnya selepas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas, Datuk Osman Sapian meninggal dunia pada 21 Disember lalu.- MalaysiaGazette