Dr. Ibrahim Ali

KUALA LUMPUR – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) kembali mengulangi pendiriannya agar kerajaan mewujudkan Akta Sabotaj Ekonomi Negara (ASEN) bagi menyiasat kes yang melibatkan salah guna kuasa dan rasuah yang melibatkan jumlah yang tinggi.

Presidennya, Datuk Ibrahim Ali menegaskan, ini kerana akta itu boleh dijadikan alat kea rah pembentukan sebuah kerajaan yang bersih dan berintegriti.

Menurut beliau, cara kerajaan menangani rasuah, penyalahgunaan kuasa dan penggubahan wang haram pada hari ini tidak lagi berkesan, membuang masa, berlaku banyak pembaziran wang negara dan masih ada penjenayah-penjenayah rasuah berjaya melepaskan diri daripada hukuman.

“Konsep ASEN ini mempunyai ciri-ciri Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Rasuah bukan sahaja memberi kesan buruk kepada ekonomi negara tetapi juga boleh mengancam keselamatan negara.

“Rusuhan rakyat dan rampasan kuasa sering berlaku di sesetengah negara kerana amalan rasuah yang tidak terkawal,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar presiden dan isu-isu berkaitan sempena Perhimpunan Agung Perwakilan Tahunan Kali Kedua Putra di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini hari ini.

ASEN menjadi antara resolusi 11 perkara yang menjadikan ketetapan parti itu dan disokong oleh perwakilan.

Mengulas lanjut, Ibrahim berkata, Putra turut mendesak agar perkataan konspirasi tidak boleh digunakan oleh tertuduh yang telah didakwa di mahkamah.

Jelas beliau, tertuduh sepatutnya berdepan proses perbicaraan dan tindakan menggunakan perkataan itu boleh dianggapkan menghina mahkamah.

“Hari ini, sampai ada hakim tegur kepada tertuduh tertentu agar jangan komen banyak termasuk Presiden Ikatan Demokratik Malaysia (Muda).

“Beliau komen macam-macam pasal kes dia. Tunggulah proses mahkamah, itu menghina mahkamah.

“Jadi saya minta kerajaan pinda undang-undang siapa yang didakwa di mahkamah dan dituduh maka dia tidak boleh menyebut (pendakwaan) itu adalah konspirasi,” katanya.

Ibrahim turut mencadangkan lima jawatankuasa di bawah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia iaitu Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR), Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR), Jawatankuasa Aduan (JKA), Panel Penilaian Operasi (PPO) serta Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR) dibubarkan.

Jelas beliau, satu jawatankuasa mempunyai tujuh ahli di mana ia melibatkan kos tinggi untuk membayar elaun mereka. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast