Muhammad Farid (dua dari kanan) bersama pengerusi kariah masjid Teluk Kumbar menunjukkan salah satu kawasan yang akan digunakan untuk membina asrama warga asing di Teluk Kumbar, Pulau Pinang.

BALIK PULAU – Pertubuhan Badan Pemikir Melayu Pulau Pinang (Pemikir) membidas Kerajaan DAP negeri ini yang dilihat berkeras untuk meneruskan pembinaan tiga asrama warga asing di sekitar Teluk Kumbar di sini.

Pembinaan tiga asrama warga asing itu akan dilakukan di Bagan Teluk Kumbar, Bukit Belah Sungai Batu, serta Tingkat Teluk Kumbar.

Difahamkan, pembinaannya membabitkan tanah seluas tujuh hektar yang mampu menempatkan lebih 50,000 warga asing.

Pengerusi Pemikir, Datuk Muhamad Farid Saad berkata, kerajaan negeri dilihat mementingkan desakan pemaju berbanding rakyat selepas bantahan yang dikemukakan penduduk tempatan tidak diambil peduli.

Muhammad Farid.

Jelas beliau, kedegilan kerajaan DAP itu lebih ketara apabila perkara tersebut dibangkitkan Ahli Dewan Undangan Negeri Bayan Lepas yang mewakili suara kerajaan negeri dalam sidang Dewan Undangan Negeri juga tidak membawa sebarang perubahan.

“Kerajaan negeri sepatutnya melihat kesan pembinaan asrama di Batu Maung, yang mana ia bakal mengundang pelbagai masalah kepada penduduk setempat dari segi pencemaran bunyi, pergerakan bas kilang yang mengganggu laluan trafik di kawasan perumahan selain kebanjiran warga asing di kediaman orang tempatan.

“Selain itu, tidak logik mereka mahu bina asrama di perkampungan terlibat sedangkan tiada kilang di kawasan tersebut sebaliknya kawasan perindustrian di Bayan Lepas serta Batu Kawan.

“Jadi timbul pelbagai persoalan di sini termasuk siapakah pemaju yang mempengaruhi kerajaan negeri dalam membuat keputusan pembinaan tiga asrama ini,” katanya pada sidang media di Teluk Kumbar di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Muhammad Farid turut mempersoalkan motif sebenar kerajaan negeri yang berkeras dalam pembinaan tiga asrama warga asing tersebut.

Salah satu lokasi pembinaan berhampiran kawasan projek PSR.

“Manifesto kerajaan negeri adalah untuk mengurangkan kebergantungan kepada pekerja warga asing, selain mereka mencadangkan pembangunan kilang dengan teknologi robotik jadi kenapa perlu pekerja yang ramai?

“Adakah kerajaan negeri cuba menghapuskan penempatan orang Melayu di kawasan ini?

“Sehubungan itu, seluruh penduduk Teluk Kumbar bantah pembinaan tiga asrama tersebut selain kami menggesa kerajaan negeri untuk mendengar suara rakyat berbanding memberi layanan istimewa kepada pemaju,” tegas Muhammad Farid.

Media tempatan pada 12 Oktober lalu melaporkan, penduduk Teluk Kumbar di sini membantah keras cadangan membina tiga projek bangunan asrama yang bakal menempatkan hampir 50,000 pekerja asing di kawasan itu.

Mereka yang mewakili penduduk Kampung Masjid; Kampung Paya; Sungai Batu; Kampung Matahari Naik dan Taman Perda berkumpul secara aman di persimpangan jalan Tingkat Teluk Kumbar. – MalaysiaGazette

4 Komen

  1. Padan muka Pak Pandir modern mendukung biawak hidup migrants expats timah dan getah yang menguntungkan ekonomi penjajah Inggeris.

Comments are closed.