DAP Queen's counsel Najib Razak UK SRC International Sdn Bhd appeal Federal Court
Najib Tun Razak

PUTRAJAYA – Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan memohon Peguam Diraja dari United Kingdom untuk rayuannya bagi membatalkan sabitan serta hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta bagi kes melibatkan dana SRC International Sdn Bhd di Mahkamah Persekutuan.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Ashrof Andrin Kamarul berkata peguam utama Najib Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memaklumkan perkara itu kepada Pendaftar Mahkamah Persekutuan Siti Hajar Mustaffa semasa prosiding dalam talian hari ini.

“Pembelaan akan menulis surat kepada Mahkamah Persekutuan selewat-lewatnya esok mengenai hasrat untuk memohon Peguam Diraja dari UK untuk menghadiri dan berhujah mengenai rayuan Najib. Mahkamah menetapkan 28 Jan untuk pengurusan kes seterusnya bagi menentukan langkah berikutnya untuk rayuan,” katanya kepad apemberita di sini.

Pelantikan Peguam Diraja itu akan dibuat secara ad-hoc selepas mendapat kebenaran daripada mahkamah Malaysia.

Mahkamah juga menetapkan 15 dan 16 Mac untuk mendengar rayuan Najib untuk mengemukakan bukti baharu.

Pada 7 Dis lepas, Mahkamah Rayuan menolak permohonan Najib untuk mengemukakan bukti baharu bagi rayuannya dalam kes SRC dengan memutuskan bahawa Najib gagal memenuhi Seksyen 61 Akta Mahkamah Kehakiman secara kumulatif bahawa bukti baharu diperlukan untuk keadilan dalam kes itu.

Sehari selepas itu, mahkamah sama mengekalkan sabitan serta hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap Najib bagi kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC.

Hakim Datuk Abdul Karim Abdul Jalil, yang mengetuai panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera, menolak rayuan Najib terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bertarikh 28 Julai 2020.

Pada hari sama, Najib, 69, memfailkan notis rayuan kepada Mahkamah Persekutuan.- BERNAMA