Ir. Khairil Nizam Khirudin

KUALA LUMPUR – Pas belum membuat keputusan muktamad sama ada akan bertanding atau sebaliknya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Ketika ini, parti itu masih menunggu analisis dan kajian, sebelum menetapkan keputusan.

Ketua Penerangannya, Ir. Khairil Nizam Khirudin berkata, sebarang keputusan akan dibuat selepas mengambil kira analisis situasi politik di negeri itu.

Kita dalam proses membuat analisis daripada laporan PAS Johor dan juga kajian di lapangan sebelum kita menentukan keputusan-keputusan seterusnya,” katanya ketika dihubungi Harakahdaily, di sini, hari ini.

Ditanya mengenai dakwaan PAS tidak mempunyai peluang untuk memiliki kerusi di Johor, kata Ir Khairil Nizam, menang atau kalah hanyalah adat dalam pertandingan pilihan raya.

“Apa yang lebih penting adalah keberkesanan dan kesediaan jentera Pas untuk menghadapi PRN Johor dan juga Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 yang dijangka berlaku lebih awal.

“Kita bukan hanya berbicara mengenai PRN Johor, kita juga berbicara mengenai PRU ke-15 yang mungkin akan berlaku lebih awal daripada dijangkakan.

“Jadi, menang atau kalah dalam pilihan raya itu biasa,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Jumaat lalu, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dilaporkan berkata, parti itu sedia bekerjasama dengan UMNO pada PRN Johor.

Beliau berkata, Pas akan mengadakan perbincangan dengan kepimpinan tertinggi UMNO dalam masa terdekat.

“Komitmen kita sebenarnya dengan UMNO dan lain-lain parti masih lagi berjalan dan kita harapkan mampu mengadakan kerjasama yang baik dalam konteks politik,” kata Tuan Ibrahim.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dibubarkan dengan perkenan Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pada Sabtu lalu, selepas menandatangani watikah pelantikan pembubaran DUN Johor, sekali gus memberi laluan kepada PRN.

Kerajaan negeri itu sebelum ini diterajui Barisan Nasional (BN) dengan 28 kerusi melibatkan UMNO 14 kerusi, MIC (dua), Bersatu (11) dan Pas (satu), manakala Pakatan Harapan (PH) 27 kerusi iaitu DAP (14), PKR (tujuh) dan Amanah (enam). – MalaysiaGazette