KUALA LUMPUR – UDA Holdings Berhad (UDA) akan melancarkan dua projek hartanah baharu iaitu Pisonia Ville dan Areca Terrace pada pertengahan tahun ini.
Projek itu menawarkan 225 unit kediaman teres dua tingkat itu iaitu 53 unit bagi Pisonia Ville Pakej 2 dan 172 unit Areca Terrace.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd. Salem Kailany berkata, Pisonia Ville Pakej 2 dan Areca Terrace bakal dibangunkan di Bandar UDA Utama berstatus pegangan kekal.
Perbandaran berkeluasan 470 ekar itu terletak di lokasi strategik bersebelahan Tol Perling dan dikelilingi taman perumahan yang matang, selain berdekatan dengan pelbagai kemudahan serta akses mudah ke pusat beli-belah, pasar raya, bank dan sekolah.
Pisonia Ville Pakej 2 bersaiz 25’ x 75’ menyediakan pilihan lima atau enam bilik tidur, sesuai untuk keluarga besar sehingga tiga generasi yang mengutamakan ruang luas untuk bersantai.
Areca Terrace pula bersaiz 20’ x 65’ dengan kemudahan empat bilik tidur dan tiga bilik air mengetengahkan rekaan moden serta 10 kaki halaman belakang berumput untuk pengubahsuaian di masa akan datang. – MalaysiaGazette