Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan

PONTIAN – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menolak khabar angin dirinya akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata, perkara itu tidak sama sekali akan berlaku.

Sebaliknya beliau akan memberi tumpuan untuk membantu jentera Barisan Nasional (BN) dan UMNO pada PRN Johor.

“Jika dicari dalam kertas undi pada PRN Johor, nama saya tiada. Jadi dalam erti kata lain, saya mengesahkan tidak akan bertanding di mana-mana kerusi DUN (Dewan Undangan Negeri) di Pontian iaitu DUN Pulai Sebatang atau Benut.

“Namun saya tetap akan bantu parti, saya akan bantu Datuk Hasni (Mohamad) yang juga Ketua Bahagian UMNO Pontian dan Menteri Besar Johor untuk dicalonkan semula di DUN Benut,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas penyerahan sumbangan Tahun Baru Cina di DUN Benut di sini hari ini.

Ahmad Maslan menjawab persoalan itu apabila diminta mengulas dakwaan beliau bakal bertanding di DUN Pulai Sebatang pada PRN Johor nanti.

Dalam pada itu, beliau turut memberitahu beliau juga ditugaskan melakukan tinjauan ke 56 DUN di Johor.

Ini bagi membolehkan  pertemuan tertutup dengan akar umbi parti diadakan.

“Saya akan bantu parti untuk PRN ini. Itu sudah pasti. Dalam pada itu juga saya akan turun ke semua 56 DUN bagi memastikan ia berjalan lancar,” ulasnya.

Tegas beliau, UMNO dan BN akan memastikan  kerusi yang kalah sebelum ini termasuk DUN Pulai Sebatang akan berpihak kepada BN dalam PRN kelak. – MalaysiaGazette