Tengku Zafrul Abdul Aziz

KUALA LUMPUR – Pelaksanaan dasar hasil baharu hanya boleh diperkenalkan selepas ekonomi kembali pulih dan rakyat sudah bersedia untuk menerimanya.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, buat masa ini, kerajaan perlu tangani dahulu isu-isu inflasi yang disebabkan oleh gangguan rantai bekalan global, kos tenaga seperti bahan api yang naik mendadak, serta peningkatan permintaan pengguna di seluruh dunia berikutan pembukaan semula ekonomi.

Menurutnya, semua ini telah memberi kesan kepada kos sara hidup Keluarga Malaysia, terutamanya bagi golongan B40 dan M40.

Oleh itu, kerajaan telah dan sedang melaksanakan pelbagai inisiatif bagi menangani isu inflasi dan kenaikan harga barang keperluan asas bagi meringankan beban rakyat.

Ini termasuk peruntukan sebanyak RM31 bilion dalam bentuk subsidi di bawah Bajet 2022 seperti pemberian subsidi petrol RON95 dan diesel serta minyak masak dan tepung.

Di samping itu, peruntukan sebanyak RM200 juta disediakan untuk mengurangkan harga barang keperluan di kawasan luar bandar.

Katanya, subsidi bersasar juga satu aspek yang perlu diberi penekanan memandangkan buat masa ini, subsidi petrol RON95 dinikmati oleh semua golongan, tidak kira sama ada B40 atau T20.

Kajian Khazanah Research Institute pada 2014 mendapati 80% subsidi sebenarnya diterima oleh golongan berpendapatan tinggi.

”Bayangkan jika subsidi ini dapat dilaksanakan dengan bersasar, penjimatan tersebut boleh dibelanjakan untuk memperkasa golongan B40 dan PKS mikro, atau mana-mana inisiatif pembangunan sosio ekonomi rakyat yang lain.

”Satu lagi aspek disiplin fiskal adalah bagi memastikan peruntukan yang disalurkan melalui langkah-langkah Bajet 2022 mencapai golongan sasar,” ujarnya dalam Laporan Laksana Ke-83.

Sehubungan itu, kerajaan telah menubuhkan sebuah Jawatankuasa Pemantauan Bajet 2022 yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Walaupun terdapat pelbagai inisiatif untuk rakyat di dalam Bajet 2022, sekiranya ia tidak dimanfaatkan pun tiada gunanya.

Oleh itu, proses pemantauan akan melibatkan kerjasama rapat di antara kementerian dan agensi pelaksana bagi memastikan penyaluran manfaat Bajet 2022 yang efisien serta efektif.

Setakat 14 Januari 2022, sebanyak RM31 bilion telah disalurkan kepada individu dan perniagaan yang memerlukan melalui 43 inisiatif yang telah bermula semenjak 1 Januari lalu. – MalaysiaGazette