Mohamed Azmin Ali

KUALA LUMPUR – Perdagangan luar Malaysia mencatat prestasi bersejarah pada 2021 apabila buat pertama kalinya melepasi paras RM2 trilion selain merekodkan pertumbuhan paling pantas sejak 1994.

Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, eksport mencecah RM1.24 trilion iaitu mencapai 99 peratus daripada unjuran yang ditetapkan bagi 2025 di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) meliputi 2021-2025 – empat tahun lebih awal daripada sasaran.

“Lebihan dagangan pula direkodkan bagi tempoh 24 tahun berturut-turut sejak 1998. Pencapaian ini telah disokong terutamanya oleh pemulihan permintaan luar dan harga komoditi yang lebih tinggi,” katanya ketika mengumumkan pencapaian itu dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Mohamed Azmin, eksport ke negara-negara rakan dagang utama iaitu ASEAN, China, Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Eropah (EU) turut mencatatkan pertumbuhan dua digit dengan nilai tertinggi baharu manakala eksport ke Jepun pulih dengan pertumbuhan dua digit selepas susut selama tiga tahun berturut-turut.

“Kenaikan eksport yang ketara turut dicatatkan ke pasaran baharu seperti Costa Rica, Kenya, Mesir, Nigeria, Ghana dan Iraq. Eksport ke negara rakan dagang Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) juga menunjukkan trend peningkatan dengan rekod tertinggi baharu setelah menguncup selama dua tahun berturut-turut.

“Eksport sektor perkilangan, keluaran pertanian dan hasil galian mencatatkan pertumbuhan dua digit dengan eksport sektor perkilangan buat pertama kalinya telah melepasi nilai RM1 trilion,” katanya.

Mohamed Azmin berkata pertumbuhan eksport yang mampan itu telah disokong oleh kekukuhan eksport barangan elektrik dan elektronik (E&E), produk petroleum, barangan perkilangan logam, minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit, keluaran getah serta kimia dan bahan kimia yang masing-masing mencatatkan nilai tertinggi dengan pertumbuhan dua angka.

“Prestasi perdagangan Malaysia yang kukuh adalah seiring dengan pasaran-pasaran di rantau ini seperti Indonesia, Taiwan, China, Korea Selatan, Thailand dan Singapura yang turut menunjukkan trend pemulihan daripada impak akibat krisis COVID-19,” katanya.

Beliau berkata mengorak langkah ke hadapan, pertumbuhan perdagangan Malaysia dijangka mengekalkan momentum positif dan disokong oleh permintaan berterusan terhadap barangan E&E dan berasaskan komoditi.

“Ketidaktentuan ekonomi global berikutan kemunculan varian COVID-19 baharu berserta gangguan rantaian bekalan dilihat boleh menjejaskan prestasi perdagangan,” katanya.

— BERNAMA