Facebook Lee Meng Yean.

KUALA LUMPUR – Pemain beregu wanita negara, Lee Meng Yean menjadi pemain terbaru yang meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Badan induk itu dalam satu kenyataan berkata, Meng Yean, 27, yang mengetuai pasukan wanita negara pada saingan Piala Uber 2020 dan beraksi di Sukan Olimpik Tokyo 2020 tidak lagi akan bersama skuad kebangsaan berkuat kuasa, hari ini.

“BAM ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Meng Yean atas sumbangannya kepada pasukan kebangsaan, dia pergi dengan ucapan terbaik daripada semua yang berada di persatuan,” kata kenyataan itu.

Sementara itu, Meng Yean berkata, biarpun tidak lagi bersama BAM namun dia tetap akan meneruskan kerjayanya sebagai pemain profesional dan mewakili Malaysia.

“Saya hanya bermain di persekitaran yang berbeza dan tetap mewakili Malaysia. Terima kasih kepada semua yang memberi sokongan sepanjang kerjaya saya.

“Jangan bimbang, saya tidak akan hilang daripada dunia badminton kerana saya tahu anda semua mahu menyaksikan Nyek Nyek (nama julukannya) terus bersinar di dalam gelanggang,” kata Meng Yean menerusi hantaran di Facebook miliknya.

Tidak seperti kemelut yang melanda pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia, keputusan Meng Yean untuk meninggalkan BAM bukanlah sesuatu yang mengejutkan.

Dia dilihat masih bergelut untuk membentuk kombinasi mantap bersama gandingan baharunya, Yap Cheng Wen selepas pasangannya sebelum ini Chow Mei Kuan mengumumkan persaraan sebaik tamat Sukan Olimpik Tokyo, Ogos tahun lalu. – MalaysiaGazette