Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Komisioner Datuk Seri Abd Jalil Hassan.

KUALA LUMPUR – Bukit Aman akan memanggil bekas Penyelidik Pusat Memerangi Kronisme dan Korupsi (C4), Lalitha Kunaratnam pada Khamis ini untuk diambil keterangan sebagai membantu siasatan polis berhubung penerbitan artikel berkaitan dakwaan pemilikan saham Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Komisioner Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, proses rakam keterangan akan dikendalikan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bahagian Pendakwaan dan Undang-Undang (D5) Bukit Aman

“Ya… betul dia (Lalitha) akan dipanggil Khamis ini ke Bukit Aman bagi membantu polis dan melengkapkan siasatan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Bagaimanapun, beliau tidak memperincikan tentang proses siasatan itu.

Terdahulu media melaporkan Lalitha telah dimaklumkan melalui panggilan telefon pada hari ini untuk hadir ke Bukit Aman pada ja, 2.30 petang Khamis ini bagi memberi keterangan berhubung dua artikelnya yang bertajuk ‘Business ties among MACC leadership: How deep does it go?’.

Pada 12 Januari lalu, Azam melalui peguamnya, Megat Abdul Munir memfailkan tuntutan saman fitnah sebanyak RM10 juta terhadap Lalitha di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Tuntutan saman fitnah itu menyusul berikutan penerbitan sebuah artikel di sebuah portal berita, masing-masing pada 26 Oktober dan 15 Disember 2021. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast