Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Mohammad Anuar Mohd Yunus menunjukkan laporan polis terhadap 3 portal berita kerana memfitnah Perdana Menteri di Ibu Pejabat Daerah Dang Wangi. Foto MOHD ADZLAN, 31 JANUARI 2022.

KUALA LUMPUR – Tiga portal berita yang membuat laporan fitnah terhadap Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob didakwa mempunyai niat jahat dan mencemarkan nama baik Perdana Menteri.

Menurut Setiausaha Politik Ismail Sabri, Datuk Mohammad Anuar Mohd Yunus, ketiga-tiga portal itu telah membuat fitnah jenayah terhadap Ismail Sabri.

“Artikel di Agendaily yang bertajuk Ismail Sabri bimbang jadi PM paling singkat, rayu jangan tarik sokongan yang disiarkan pada 30 januari 2022 dan diulang siar oleh The Malaysia Life dengan tajuk Ismail Sabri rayu jangan tarik sokongan bimbang jadi PM paling singkat, serta daripada dialograkyat.blogspot tarikh dan tajuk pada hari yang sama iaitu Ismail rayu jangan tarik sokongan bimbang jadi PM paling singkat kenyataan ini yang telah dimanipulasikan oleh ketiga-tiga portal tersebut daripada kenyataan sebenar YAB Perdana Menteri ketika ditanya oleh pemberita pada suatu majlis di Bera pada Sabtu 29 Januari 2022.

“Malah pada sidang media tersebut pemberita daripada ketiga-tiga portal tersebut tidak kelihatan.

“Laporan ini dibuat supaya pihak berkuasa menyiasat dan mengambil tindakan serius ke atas pemilik ketiga-tiga portal tersebut yang memutarbelitkan dan menyebarkan berita palsu sehingga menjatuhkan kredibiliti YAB Perdana Menteri dan menimbulkan kegusaran rakyat,” katanya dalam laporan polis tersebut.

Dalam pada itu, Mohammad Anuar berkata, kenyataan yang dikeluarkan Ismail Sabri turut dimanipulasi oleh ketiga-tiga portal berkenaan.

Justeru itu, beliau berkata, laporan tersebut tidak benar sama sekali dan bersifat fitnah semata-mata.

“Kenyataan itu telah dimanipulasi oleh ketiga-tiga portal tersebut dan tidak ada menyentuh apa-apa yang ditulis oleh ketiga-tiga portal.

“Ketiga-tiga pemberita tersebut tidak ada pun di Bera pada ketika itu. Jadi ianya seolah-olah penyebaran berita tidak benar daripada mereka,” katanya pada sidang media selepas membuat laporan polis berkenaan.

Laporan polis itu dibuat keatas portal Agenda Daily, Malaysia Life dan dailograkyat.blogspot yang mengeluarkan laporan berita berkenaan.

Dalam laporan itu, Ismail Sabri difahamkan seolah-olah ‘merayu’ Perikatan Nasional (PN) untuk tidak menarik sokongan terhadap beliau.

Ismail turut dilaporkan membuat rayuan itu setelah menerima dua kali peringatan daripada Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin. – MalaysiaGazette