KUALA LUMPUR – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menandatangani perjanjian persefahaman (MOU) dengan Universiti Antarabangsa UNITAR (UNITAR) semalam bagi mengukuhkan kerjasama dua hala antara dua pusat pengajian itu.
Menurut Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr Md Amin MdTaff berikutan kerjasama itu kedua-dua pihak akan melaksanakan program penyelidikan, penerbitan, kepakaran, perundingan, bengkel atau seminar, pertukaran pelajar, dan penyeliaan silang pengajaran
yang melibatkan Pendidikan Awal Kanak-kanak (PAKK) dan program di bawah Fakulti Pembangunan Manusia, UPSI.
“Pelaksanaan program antara UPSI dan UNITAR akan dapat mewujudkan perkongsian pintar dalam aspek pengetahuan, kemahiran, pengalaman, dan kepakaran dalam di UPSI sebagai hub PAKK negara dalam menyediakan pedagogi yang seiring dengan keperluan semasa,” katanya.
Kerjasama yang dijalin pasti dapat menambah baik kualiti, reka bentuk dan penyampaian kurikulum Pendidikan Awal Kanak-kanak dan lain-lain bidang akademik, penyelidikan, perundingan dan penerbitan yang berkaitan dengan gabungan tenaga kepakaran dari
UPSI dan UNITAR,” jelasnya semasa majlis menandatangani perjanjian
persefahaman di Kampus Sultan Azlan Shah.
Katanya, ia bertepatan dengan konsep yang diterapkan oleh UPSI iaitu 3R@UPSI merangkumi Relevant, Referred dan Respect agar UPSI dan UNITAR menjadi tempat rujukan utama institusi pendidikan dalam dan luar negara.
“Secara tidak langsung, ia dapat mewujudkan sinergi budaya kolaboratif antara IPTA dan IPTS dalam menyediakan pendidikan berasaskan bukti secara menyeluruh dan holistik,” jelasnya.
Sementara itu Naib Canselor UNITAR, Profesor Emeritus Tan Sri Dr Sahol Hamid Abu Bakar berkata, ia akan memberi nilai tambah terhadap kelayakan kepada calon pelajar terhadap pengalaman pembelajaran.
“Kerjasama ini juga bertujuan untuk memberi peluang kepada calon-calon pelajar untuk mengikuti pengajian dan memiliki sijil kelayakan akademik ijazah berkembar daripada UPSI dan UNITAR melalui penawaran program akademik Pendidikan Awal Kanak-kanak
yang dilaksanakan di Pusat Pembelajaran UNITAR yang mempunyai kemudahan persekitaran pembelajaran yang kondusif setanding dengan UPSI,” jelasnya.
Menurut beliau lagi, kerjasama ini memberi peluang untuk meningkatkan keterlihatan sebagai universiti awam dan institusi swasta yang mewujudkan kelestarian program akademik selaras dengan perkembangan industri pendidikan negara.
“Dengan termeterainya perjanjian ini ia dapat melahirkan sekumpulan guru elit, berkemahiran pedagogi tinggi yang diperlukan seterusnya bakal memberi perkhidmatan terbaik pendidikan untuk negara,” tambahnya. – MalaysiaGazette