(Dari kiri) Umar Akhtar Ab Malek (Yang Dipertua MPP UPM Sesi 2024/2025), Nur Annisaa Shaifuk Naim (MPP UPM), Prof. Dr. Ir. Riri Fitri Sari (Chairperson, UIGreenMetric), Dr Junaidi (Vice-Chair Greenmetric),Shafinaz Kaus Abdul Aziz (MPP UPM), Easwaran A/L Vasudavan (MPP UPM) dan Dr. Daljit Singh A/L Karam Singh (Pensyarah Fakulti Pertanian UPM, Pengetua Kolej Tan Sri Aishah Ghani, UPM) semasa di The 3rd International Student Leaders Meeting on Sustainability 2025.

SERDANG – Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Universiti Putra Malaysia (UPM) mengharumkan nama universiti dan negara apabila berjaya mewakili Malaysia dalam The 3rd International Student Leaders Meeting on Sustainability 2025 (ISLMS2025) yang berlangsung di University of Szeged, Hungary, baru-baru ini.

Persidangan anjuran UI GreenMetric Office itu menghimpunkan pemimpin pelajar dari universiti seluruh dunia yang tersenarai dalam UI GreenMetric World University Rankings, dengan tema “Challenges and Pathways to a Sustainable Future”.

Delegasi UPM diketuai oleh Yang Dipertua MPP, Umar Akhtar Ab Malek dari Fakulti Pertanian, bersama Easwaran a/l Vasudavan dari Fakulti Sains, Nur Shafinaz Kaus Abdul Aziz dari Sekolah Perniagaan dan Ekonomi serta Nur Annisaa Shaiful Naim dari Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar.

Menurut Umar Akhtar, penyertaan MPP UPM merupakan peluang berharga untuk berkongsi inisiatif kelestarian kampus serta memperluas jaringan antarabangsa.

“Kami bukan sahaja membawa nama UPM dan Malaysia malah ia berpeluang mempelajari amalan kelestarian dari negara lain. Penyertaan ini menyokong fokus UPM untuk mencapai kesohoran global sejajar dengan teras True Northuniversiti,” katanya.

Timbalan Naib Yang Dipertua (Akademik dan Keusahawanan) MPP, UPM, Easwaran a/l Vasudavan menyifatkan, persidangan tersebut membuka ruang pertukaran idea serta memberi peluang kepada delegasi UPM untuk merangka pelan tindakan mampan bersama pelajar dari pelbagai negara.

Sekretariat Kesenian dan Warisan Kebudayaan MPP, UPM, Nur Shafinaz Kaus Abdul Aziz berkata, pengalaman tersebut telah memberi inspirasi untuk memperkasa budaya kelestarian dalam kalangan pelajar UPM.

“Saya melihat potensi besar untuk melibatkan lebih ramai pelajar dalam kempen dan projek kelestarian. Ini merupakan langkah penting untuk menjadikan UPM sebagai pusat kepimpinan kelestarian yang memberi impak positif kepada masyarakat global,” ujarnya.

Sementara itu, persidangan tersebut telah dirasmikan oleh Naib Rektor University of Szeged, Prof. Dr. Zoltan Konya; Pengerusi UI GreenMetric, Prof. Dr. Riri Fitri Sari; dan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah University of Szeged, Prof. Dr. Gabor Szabo. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast