Isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor hadir ke mahkamah bagi permohonan pembelaan diri kes rasuah projek solar hibrid RM1.25 bilion di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 05 OKTOBER 2021.

KUALA LUMPUR – Pasukan pendakwaan yang sedang mengendalikan kes-kes pengubahan wang haram (AMLA) dan gagal mengisytiharkan cukai (LHDN) Datin Seri Rosmah Mansor akan memfailkan bantahan awal dalam masa terdekat.

Bantahan ini dilakukan selepas Rosmah yang juga isteri kepada Datuk Seri Najib Tun Razak memfailkan permohonan untuk menyingkirkan ketua pendakwaan, Datuk Seri Gopal Sri Ram.

Sri Ram memaklumkan permohonan awal itu kepada Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan ketika prosiding pada hari ini.

Beliau menjelaskan, bantahan rasmi itu dan kertas mahkamah akan diserahkan kepada pasukan pembelaan pada hari ini.

Hujah bekas hakim itu, tindakan Rosmah memfailkan usul jenayah namun berkehendakkan perintah pelantikan beliau sebagai pendakwa raya ad hoc adalah salah di sisi undang-undang dan ia perlu dibatalkan.

“Ini hanya dilaksanakan melalui semakan kehakiman. Mahkamah Tinggi Jenayah tidak ada kuasa untuk beri relif seperti yang dimohon.

“Yang Arif, ini benar-benar menyalahgunakan proses mahkamah,” katanya.

1MDB Prosecutor Datuk Seri Gopal Sri Ram Rosmah Mansor solar hybrid project corruption trial Najib Razak
Datuk Seri Gopal Sri Ram

Pasukan pembelaan tidak membantah atas hasrat pendakwaan untuk memfailkan bantahan awal itu tetapi memohon masa bagi membolehkan mereka mamfailkan afidavit jawapan terhadap bantahan itu kelak.

Mohamed Zaini kemudian menangguhkan prosiding serta menetapkan 17 dan 18 Februari ini bagi mendengar bantahan awal, sekali gus membatalkan permohonan tersebut.

Mahkamah hari ini sepatutnya mendengar dua lagi permohonan Rosmah iaitu untuk menyingkirkan Mohamed Zaini dan menangguhkan perbicaraan kes itu.

Sebelum ini, Rosmah telah memfailkan permohonan untuk menyingkirkan Sri Ram atas alasan, antaranya mendakwa bekas Hakim Mahkamah Persekutuan itu bukanlah orang yang sesuai untuk mengetuai pasukan pendakwaan dalam kes itu.

Pada 12 Januari lalu, Rosmah memfailkan permohonan untuk menggugurkan Mohamed Zaini daripada mendengar perbicaraan kes AMLA dan LHDN yang sedang dihadapi olehnya.

Pada 2018, Rosmah mengaku tidak bersalah atas 12 pertuduhan membabitkan diri dalam pengubahan wang haram berjumlah RM7,097,750 dan lima pertuduhan gagal menyerahkan penyata pendapatan kepada LHDN di Mahkamah Sesyen di sini. -MalaysiaGazette