Afzanizam menunjukkan gambar barang rampasan dan suspek yang ditahan pada operasi khas di sekitar Muar baru-baru ini.

JOHOR BAHRU – Seorang runner sambilan ditahan polis kerana disyaki mengedar dadah dalam operasi yang dilakukan di sekitar Muar pada 30 dan 31 Januari lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Johor, Asisten Komisioner (ACP) Mohd. Afzanizam Yahaya berkata, lelaki berusia 48 tahun itu ditahan kira-kira jam 6 petang hingga jam 1.30 pagi.

“Pihak polis menjalankan tiga serbuan dalam operasi khas ini dan suspek berjaya ditahan di sebuah unit rumah pangsa dipercayai dijadikan sebagai stor untuk menyimpan dadah.

“Hasil pemeriksaan pihak polis menemui 10 kilogram heroin, 388 gram syabu dan 250 biji pil eramin 5 yang keseluruhannya berjumlah RM176,697 selain merampas wang tunai RM685,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini, hari ini.

Hasil ujian saringan air kencing, suspek didapati positif Methamphetamine manakala semakan mendapati suspek mempunyai rekod lampau berkaitan dadah, tambah beliau.

Menurut Mohd. Afzanizam, siasatan polis juga mendapati suspek menjadikan sebuah unit rumah pangsa yang disewa dengan kadar sewaan RM500 sebulan sebagai stor menyimpan bekalan dadah.

“Hasil siasatan mendapati sumber bekalan dadah ini diperolehi adalah dari utara dan dipercayai untuk diedarkan di pasaran sekitar daerah Muar,” katanya.

Menurutnya, suspek kini ditahan reman selama enam hari sehingga Sabtu ini bagi siasatan yang dilakukan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast